DRAMA bersiri, Kekasih Hati Mr Bodyguard yang menyaksikan gandingan serasi Redza Rosli dan Sharifah Rose berjaya meraih perhatian ramai apabila kebanyakan episod yang disiarkan sepanjang bulan Mei lalu berjaya meraih empat juta penonton.

Walaupun siaran baki episodnya sebelum ini terpaksa ditunda akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 1 Jun, penantian peminat drama ini dibalas dengan berita baik apabila ia diteruskan dengan 13 episod lagi sejurus tamatnya bahagian pertama yang bersiaran dari 10 September hingga 15 Oktober lalu.

Sekuel Kekasih Hati Mr Bodyguard sebanyak 13 episod itu akan mula bersiaran pada 16 Oktober (esok) dan diikuti setiap hari Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam di slot Lestary TV3.

Anda juga dapat menyaksikan drama popular itu di platform penstriman Disney+ Hotstar Malaysia.

Drama terbitan Creative Skill Solution dan diarahkan oleh Emi Suffian itu menampilkan barisan pelakon popular seperti Redza Rosli, Sharifah Rose, Ungku Hariz, Syafnida Shuhaimi, Fadlan Hazim, Ian Haziq, Lisdawati, Zuhairi Ibrahim, Zarina Zainuddin dan ramai lagi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Nini Yusof, berkata, pihaknya gembira apabila drama tersebut mendapat sambutan ramai.

“Alhamdulillah, Kekasih Hati Mr Bodyguard kembali menemui penonton TV3 dan diteruskan dengan kesinambungan jalan cerita lebih dramatik dan suspen.

Iklan

“Drama ini bukan saja mendapat sambutan hebat pada setiap episod siaran di TV,  malah turut meraih perhatian tinggi di laman media sosial dan juga menerusi perkhidmatan penstriman Disney+ Hotstar Malaysia,” katanya.

Setelah berlaku tragedi hampir dirogol, Aralyn (Sharifah Rose) mengalami trauma hingga mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Hadif (Redza Rosli). Hadif kecewa dan teruskan hidup dengan hati yang lara.

Iklan

Aralyn berkenalan dengan Lara (Syafnida Shuhaimi) di sebuah kedai haiwan peliharaan dan mula bersahabat baik. Bagaimanapun Hadif rasa ada sesuatu tidak kena dengan Lara dan mula menyiasat latar belakang Lara. Siapakah Lara sebenarnya?

Jangan ketinggalan untuk terus menyaksikan sekuel Kekasih Hati Mr Bodyguard setiap hari Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam atau menonton di penstriman Disney+ Hotstar Malaysia.