RATU rock negara, Ella, tidak menyangka perkongsiannya tentang masalah keresahan (anxiety) dan kemurungan pada hantaran di laman media sosial miliknya sebelum ini mendapat perhatian ramai.

Tanpa berselindung, Ella, atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 56, mendedahkan pernah berhadapan masalah sama sebelum ini.

“Saya amat faham kerana satu ketika dulu saya pernah hadapi masalah sama. Saya selalu rasa suram, hitam, lesu dan letih yang berpanjangan. Terlalu banyak tanda soal dalam kepala (ketika itu).

“Namun saya beruntung kerana, waktu itu saya ada Mak dan Jojie (kakak). Saya berterima kasih pada mereka kerana kami sama-sama laluinya.

“Pada waktu itu, saya berada di puncak karier dan ia bukanlah satu perjalanan yang mudah,” akuinya.

Melihat kepada ramainya yang terganggu daripada sudut emosi dan fikiran ketika ini, pelantun lagu Layar Impian itu bercadang untuk wujudkan satu page di laman Facebook miliknya, khusus untuk mereka yang berdepan masalah tersebut.

“Ramai yang mengadu di kotak mesej saya tentang masalah masing masing. Maafkan saya tak dapat respon satu-persatu.

“Saya baru sempat baca dan cukup bersimpati. Saya titipkan doa buat kalian semua.

Iklan

“Bagi yang pernah atau sedang mengharunginya, jangan segan untuk sama-sama kita berkongsi pengalaman,” ujarnya.

Dalam masa sama, Ella berkata, dia akan berkongsi info tepat berkenaan masalah tersebut daripada mereka yang berpengalaman untuk sebagai tip dan nasihat untuk mereka yang berkenaan.

“Saya sedih mengenangkan mereka sedang melaluinya sendirian sekarang. Be strong sayang. Saya akan kongsikan nanti pelbagai tip (atas restu pakar) untuk kita praktikkan bersama.

Iklan

“Buat anda yang merasa tertekan dan sering dalam kebimbangan, jangan risau, saya dan team akan sokong anda.

“Sekarang ni zaman susah. Ella dan Azhar (suami) pun banyak terkesan. Jadi, bersama-samalah kita tempuhi segalanya,” katanya.