SIAPA sangka, bermula secara suka-suka untuk menyanyikan lagu menerusi aplikasi Tik Tok membawa tuah kepada gadis berusia 17 tahun ini dikenali ramai.

Lebih-lebih lagi dengan kemerduan suaranya tatkala menyanyikan lagu Terpesona yang merupakan nyanyian asal kumpulan New Nazareth, telah memikat hati syarikat rakaman dan pengurusan artis, The Legacy Indonesia untuk merisik Bulan Sutena.

Mendekati pemilik nama penuh Wayan Bulan Yurriana Sutena menerusi sidang media secara maya baru-baru ini, anak kelahiran Bali, Indonesia itu tidak menyangka percubaannya secara suka-suka untuk mengisi masa lapang ketika penularan Covid-19 di Indonesia tahun lalu akhirnya membawanya ke persada seni.

“Disebabkan banyak masa terluang ketika Covid-19 tahun lalu, saya isi masa dengan bermain gitar dan cover lagu menerusi aplikasi Tik Tok.

“Saya tak sangka lagu nyanyian saya tular dan mendapat perhatian ramai sehingga pihak Legacy melamar saya untuk menjadi artis rakaman mereka.

“Dulu saya hanya bercita-cita untuk menjadi polis, tetapi kini saya sudah menukar cita-cita untuk menjadi penyanyi yang baik,” ujarnya yang juga berbakat dalam gubahan lagu.

Menjadi artis di kala musim pandemik masa kini, Bulan berkata, dia tidak kecewa biarpun tidak dapat mengikut rutin biasa bagi kebanyakan artis baharu sebelum ini mengikut sesi promosi dan jelajah.

“Perasaan saya masih senang-senang saja. Kalau terlibat dengan persembahan di televisyen cuma ada kru dan tiada penonton.

“Ia memberi peluang untuk saya menimba pengalaman, cuma saya kurang pengalaman bertemu penonton, itu saja.

“Saya juga merancang untuk tampil dengan karya-karya yang berkualiti pada masa akan datang,” ujarnya positif.

Iklan
Bulan selesa menyanyi sambil bermain gitar.

Sama seperti kebanyakan artis lain, Bulan juga tidak terlepas dengan kritikan dan kecaman daripada netizen di Indonesia.

Mengakui tergores hati dengan komen-komen yang dilemparkan, Bulan berkata dia bersyukur mempunyai keluarga yang tidak jemu memberi sokongan.

“Pernah terjadi satu insiden ketika saya menyanyi dalam acara televisyen, suara saya terkucil sedikit. Kemudian ada yang kongsikan bahagian itu di media sosial dan menjadi bahan kutukan.

Iklan

“Mereka kata saya hanya bermodal rupa paras, tetapi tidak pandai menyanyi. Sedangkan waktu itu saya menyanyi tanpa bermain gitar. Semangat dan fokus akan sedikit terganggu tanpa gitar.

“Komen itu memang buatkan saya ‘down’ tetapi ibu dan kakak tidak jemu beri sokongan.

“Walaupun kami terpisah jauh kerana saya berada di Jakarta dan mereka di Bali, namun merekalah tempat saya luahkan perasaan,” jelasnya.