FILEM arahan Mamat Khalid, Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa terus menjadi pilihan ramai apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM2 juta dalam tempoh 10 hari tayangannya.

Naskhah francais Kampong Pisang itu ternyata mempunyai keistimewaan tersendiri, bukan hanya menerusi jalan ceritanya yang santai dan menghiburkan tetapi juga menerusi lakonan mantap barisan pelakonnya.

Watak Yah Kuchai lakonan Afea Deanna antara yang menarik perhatian penonton dengan bakat dan karakter bersahajanya yang menghiburkan. Terdahulu watak Yah Kuchai tular menerusi babak ‘mi kari kuah laksa’ dalam drama premium, Kampong Pisang Bersiri-Siri.

Berikutan itu, watak tersebut telah dikembangkan dalam 18 Puasa Di Kampong Pisang serta filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa.

Watak Yah Kuchai lakonan Afea Deanna (tengah) semakin diminati ramai.

Selain Afea Deanna, filem ini turut dibintangi Datuk Awie, Bell Ngasri, Kazar Saisi, Aziz M. Osman, Azraf, Dewa Sapri, Mat London, Ahmad Yasin, Joey Daud, Nazeeera Sardi, Avaa Vanja, Yoep Hitler, Siti Elizad Sharifuddin, Raja Azmi, Imuda, Ellie Suriaty dan ramai lagi.

Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad,  filem francais Kampong Pisang itu berjaya membawa penonton lari sekejap daripada tekanan akibat pandemik.

“Filem ini terus menerima sambutan positif. Bahkan, pelbagai subjek seperti babak, karakter, lagu menjadi bualan penonton di media sosial dan lebih mengujakan apabila ramai yang terhibur.

“Ini secara tidak langsung membuktikan filem ini berjaya membawa penonton lari sekejap daripada tekanan, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang ini.

Iklan

“Jutaan terima kasih kepada semua penonton yang telah menonton di platform Astro First. Kami harap filem ini mampu menarik lebih ramai penonton dan peminat filem untuk menyaksikan salah satu filem terbaik tempatan untuk tahun 2021 dan terus kekal di rumah,” katanya.

Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa mengisahkan seluruh penduduk Kampong Pisang bersama-sama mengerjakan aktiviti masak-masak pada sehari sebelum raya.

Husin kembali ke kampung bersama kekasih baru Nelly sehingga Cik Chun cemburu dan merajuk kerana cintanya ditolak. Manakala Barkoba dikejutkan dengan kehadiran bekas kekasih yang pernah tinggalkannya dahulu kerana berkahwin dengan lelaki berpangkat pengurus kilang.

Iklan

Saksikan filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa yang kini ditayangkan di Pawagam Rumah Anda, Astro First.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam secara berulang-ulang.