The Gadys hulur salam perkenalan, pertaruh lagu raya pertama
EMPAT gadis manis yang menggelarkan diri mereka sebagai The Gadys, tampil memeriahkan industri seni tanah air dengan identiti dan konsep muzik tersendiri.
Sebagai pengenalan, kumpulan yang dianggotai oleh Nelissa Nizam, Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Faa Zaini itu meluncurkan single raya berjudul Gadys Raya.
Karya ciptaan Romeo, Glow Rush, Nick Ariff dan Acap Salim itu berkisar pengalaman anggota The Gadys yang teruja membuat persiapan menyambut lebaran selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian akibat pandemik Covid-19.
Menurut Aznie, di sebalik keceriaan yang ditampilkan dalam lagu raya tersebut, mereka sebenarnya mengirimkan mesej penting untuk para pendengar.
“Kami akui sangat seronok sepanjang proses rakaman berlangsung, apatah lagi pasukan produksi sangat terbuka dengan idea daripada kami.
“Jadi ia dapat menonjolkan karakter setiap anggota The Gadys sekali gus memberikan energi berbeza untuk lagu ini.
“Malah di sebalik keceriaan lagu itu, kami sebenarnya turut menyampaikan mesej penting kepada pendengar agar tidak mengenang barang atau perkara yang sudah lepas,” katanya.
Berkongsi mengenai proses rakaman muzik video Gadys Raya, Faa meluahkan rasa syukur apabila semuanya berjalan lancar sebagaimana dirancang.
“Walaupun mengambil masa yang agak lama tetapi kami berpuas hati dengan proses rakaman. Semuanya semangat dan lakukan yang terbaik agar mendapat hasil yang diharapkan,” ujarnya.
Malar segar
Sementara itu, Ayunie pula menyifatkan pengalaman menjayakan muzik video berkenaan cukup bermakna buat mereka berempat.
“Perasaan menyanyi sambil menari dari awal sehingga habis rakaman amat berbeza, berbanding sewaktu sesi latihan.
“Ini kerana sepanjang penggambaran, kami perlu sentiasa menjaga penampilan dan memberikan sepenuh tenaga sehingga berpuas hati dengan hasilnya,” katanya.
Dalam pada itu, Nelissa pula mengharapkan agar lagu Gadys Raya diterima baik peminat muzik tanah air, sekali gus membuka laluan lebih besar kepada langkah The Gadys selepas ini.
“Kami berharap muzik video lagu ini mendapat maklum balas positif daripada penonton.
“Siapa tahu lagu itu mampu menjadi malar segar dan sentiasa diputarkan setiap kali hari raya,” katanya.
Lagu Gadys Raya telah pun dilancarkan pada 8 April lalu di semua platform digital muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX dan Deezer, manakala muzik video pula boleh ditonton di saluran YouTube The Gadys.
Menyorot penubuhan The Gadys, keempat-empat mereka adalah kenalan dalam bidang lakonan dan mula akrab selepas menyertai program game show yang dikenali sebagai The Next My Star pada 2020.
Biarpun pembabitan mereka dalam dunia nyanyian masih lagi baru, namun The Gadys telah berjaya mengumpul 1.6 juta tanda suka di akaun aplikasi TikTok menerusi pelbagai perkongsian yang dilakukan berkenaan perjalanan kerjaya mereka.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang