The Invitation, keterujaan yang akhirnya menjadi mimpi ngeri

A
A
A

THE INVITATION filem seram arahan Jessica M. Thompson, kini menjengah pawagam mulai 15 September lalu dan bakal menghantui penonton dengan pelbagai kejutan.

Filem ini mengisahkan tentang wanita muda bernama Evie (Nathalie Emmanuel) yang berjaya menjejaki salasilah keluarganya tanpa dirancang menerusi ujian DNA yang dikendalikan sebuah organisasi terkenal.

Evie dibawa sepupunya menghadiri satu majlis perkahwinan mewah yang akan diadakan di sebuah rumah agam yang terletak jauh di luar bandar England.

Pada mula, semuanya serba indah sehingga Evie berasa betapa beruntungnya di bertemu kembali keluarganya yang bukan sahaja kaya raya tetapi saling mengambil berat antara mereka.

Bagaimanapun keterujaan Evie bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia dikejutkan dengan rahsia tidak masuk akal tentang keluarga tersebut.

Mimpi indah Evie bertukar menjadi petaka selepas bertemu Walt.

Naskhah ini tampil dengan jalan cerita dan konflik yang cukup menarik untuk sebuah filem seram.

Mengisi temanya, The Invitation membawa penonton untuk turut sama merasai keseraman menerusi babak-babak yang mampu membuatkan penonton tidak senang duduk. Meski tiada hantu yang dipaparkan, namun elemen terkejut banyak menghiasi babak.

Pembukaan cerita yang menyaksikan seorang wanita membunuh diri tanpa diketahui sebab itu menjadi antara pencetus rasa ingin tahu dalam kalangan penonton. Dikuatkan lagi dengan latar tempat rumah agam yang suram dan dipenuhi barangan antik mampu membangkitan unsur misteri dan ketakutan.

Babaknya bermula agak perlahan sehinggalah kepada pertengahan jalan cerita yang menyaksikan penonton dihadapkan dengan kejutan demi kejutan, termasuk babak ngeri melibatkan pembunuhan berdarah.

Bagi mereka yang tiada kekuatan, mungkin akan mengabaikan beberapa babak yang mungkin akan menghantui mereka selepas keluar dari pawagam.

Keseluruahnnya, filem ini masih baik cuma memperlihatkan sedikit kelemahan menerusi garapan jalan cerita yang agak longgar dan kurang kemas. Malah pembinaan watak-wataknya kurang menyerlah menjadikan penonton hilang fokus, selain banyak persoalan yang tidak dirungkai dengan baik.

Pun begitu, The Invitation masih boleh ditonton terutamanya kepada peminat filem genre ini.

The Invitation

Bahasa: Inggeris

Klasifikasi: P13

Genre: Seram/thriller

Durasi: 1 jam 45 minit

Pengarah: Jessica M. Thompson

Pelakon: Nathalie Emmanuel, Thomas Doherty, Stephanie Corneliussen, Alana Boden

Tarikh Tayangan: 15 September 2022

Terbitan: Sony Pictures Entertainment

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca