BERMULA sebagai rakan seuniversiti dan sama-sama menyertai kumpulan nasyid di kampus, dua anak muda ini nekad untuk mengorak langkah dalam bidang nyanyian serta membentuk kumpulan The Truth.

The Truth dianggotai Mohd Irwan Fariz Hassan Zaim (Irwan), 22, dari Gurun, Kedah dan Mohd Naufal Mohamad Isa (Naufal), 23, dari Kampar, Perak.

Menurut Naufal, sebaik tamat pengajian Diploma Pengajian Islam di Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak, mereka tercari-cari arah tujuan sebelum sepakat untuk menceburi bidang nyanyian bagi memudahkan kerja dakwah.

“Sebelum menyertai Tarbiah Sentap Records, kami ada menyanyikan beberapa lagu cover. Bakat kami disedari pemilik Tarbiah Sentap iaitu Ustaz Ahmad Adnin Roslan.

“Dia mempelawa kami menyertai Tarbiah Sentap Records tahun lalu.

“Kami melihatnya sebagai platform untuk menyampaikan dakwah menerusi lagu yang membawa mesej kebaikan dan positif,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single pertama The Truth berjudul Cinta Sementara yang berlangsung di Shah Alam baru-baru ini.

Bukan kumpulan nasyid biasa, dua anak muda ini memilih untuk mempersembahkan genre lagu yang lebih versatil menerusi genre seperti J-Pop, K-Pop dan kontemporari.

“Kami ingin mencipta arus baharu dalam nyanyian nasyid. Pada masa yang sama berkongsi dakwah serta nilai-nilai positif dalam lagu kami.

“Kalau diikutkan, kebanyakan lagu cover kami mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

“Bukan itu sahaja, single kami, Cinta Sementara yang dilancarkan pada 3 Julai lalu berjaya meraih hampir 500,000 jumlah tontonan di YouTube,” ujar Irwan.

Cinta Sementara merupakan lagu ciptaan Akmal Rabithah berkisarkan mengenai manusia yang mengejar cinta dunia  sehinggakan lupa bahawa hanya cinta kepada Allah yang kekal selamanya.

Iklan
THE TRUTH
Pengasas Sentap Press, Ahmad Adnin (tengah) bersama ahli kumpulan The Truth yang dianggotai Naufal (kiri) dan Irwan di Tarbiah Sentap Records, Desa Damai, Shah Alam baru-baru ini. Gambar kanan : Ustaz Adnin.

Sementara itu, pemilik syarikat rakaman Tarbiah Sentap Records, Ahmad Adnin, 28, berkata, dia mempelawa The Truth kerana melihat keikhlasan dan kesungguhan mereka dalam industri nasyid.

“Saya sebenarnya lebih gemar mempelawa dan memilih sendiri penyanyi untuk bernaung di bawah Tarbiah Sentap Records. Paling penting adalah akhlak seseorang individu yang saya nak pelawa itu.

“Saya tak nak pada kemudian hari kalau ada yang bermasalah, ia akan memberi imej yang tidak baik kepada syarikat.

Iklan

“Selain The Truth, kami juga mempunyai beberapa artis rakaman lain.

“Kami berharap kehadiran The Truth dapat diterima baik oleh semua pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat, insya-ALLAH,” jelasnya.