PERSEMBAHAN penyanyi bersuara lunak, Ernie Zakri menerusi This Is Ernie Zakri Showcase yang baharu sahaja melabuhkan tirainya 11 Januari lalu ternyata berjaya menambat hati 200 peminat bertuah.

Showcase istimewa yang santai dan penuh keunikan tersendiri, dibawakan khas oleh Rocketfuel Entertainment berlangsung di Nero Event Space, PJPAC, 1 Utama, bermula tepat jam 8 malam ternyata tidak menghampakan.

Walaupun tempoh showcase hanya berdurasi selama 1 jam, tetap memberikan kepuasan kepada setiap penonton yang datang menyaksikannya.

“Alhamdulillah, saya tidak menyangka dengan sambutan yang begitu hebat oleh peminat. Tambahan, tiket yang dijual berjaya ‘sold-out’ dalam masa yang singkat.

“Walaupun hanya berskala kecil dengan kapasiti 200 penonton, saya dapat rasakan apresiaisi yang sangat tinggi dan rasa lebih bersemangat untuk mengadakan showcase solo yang seterusnya,” kata Ernie.

Iklan
Ernie menyifatkan showcase solonya ini menceritakan perjalanan karier seninya.

Ernie mempersembahkan 10 buah lagu kesemuanya termasuk hit-hitnya yang popular seperti Boneka, Gundah, Korban, Ku Bersuara, Hal Hebat, Rindu Bukan Teman, Ini Yang Ku Mahu, Misteri, Jangan Marah dan single terbaharu yang belum pernah dinyanyikan secara langsung, Astana.

“Bezanya showcase ini dengan Konsert Syamel & Ernie Zakri: Aku Cinta adalah menceritakan tentang perjalanan seni saya secara solo dan bukan sebagai suami-isteri serta lebih peribadi.

Iklan

“Penonton dapat merasai sendiri sendiri citarasa saya dalam muzik dan cara nyanyian saya,” ujarnya yang berterima kasih kepada setiap pengunjung yang hadir memberikan sokongan tidak berbelah bagi.