ENGGAN menggunakan jalan pintas bagi mengejar impian dan cita-citanya dalam bidang seni, bintang muda sedang meningkat naik, Arena Wan selesa bermula dari bawah meski perlu berdepan pelbagai cabaran.

Bermula selepas penyertaannya dalam pencarian Dewi Remaja edisi 2018/2019, pemilik nama sebenar Arena Wan Mun Yi itu tekad untuk menempuh apa juga cabaran. Dia juga tidak mahu menempuh jalan singkat semata-mata untuk mencipta nama dalam industri.

Walaupun minatnya lebih cenderung dalam dunia nyanyian, bintang berusia 24 tahun itu akur apabila peluang dalam bidang lakonan lebih terbuka luas dan telah menyerlahkan bakat seninya.

“Sejujurnya minat saya lebih kepada nyanyian tetapi saya akur apabila peluang dalam bidang lakonan lebih menonjol.

“Tidak mudah kerana saya perlu melalui proses yang panjang untuk belajar dan menunjukkan kemampuan diri. Namun, saya selesa begitu.

“Saya juga tiada hasrat mencari jalan mudah untuk meraih populariti demi dikenali ramai,” ujarnya kepada SinarPlus.

Arena tampil sebagai teraju utama siri VIU. Journal Sara-Haeyo.

Arena yang ditemui ketika majlis pelancaran drama terbaharu lakonannya, Journal Sara-Haeyo mengakui, pada awal kemunculan lima tahun lalu, lakonannya sering dikritik sebagai kaku, selain penguasaan bahasa Melayunya yang dikatakan kurang memuaskan.

Pun begitu, gadis berdarah kacukan Melayu-Cina itu tidak pernah mengambil hati, malah berusaha memperbaiki diri.

Teraju utama

Berkat usaha yang berterusan, empunya diri kini mula mendapat tawaran menjayakan watak sebagai teraju utama menerusi drama Journal Sara-Haeyo.

“Selepas penyertaan pertandingan Dewi Remaja, saya terima banyak tawaran berlakon tetapi ketika itu saya tiada keyakinan, apatah lagi ramai yang kecam kata lakonan awal saya ‘kayu’ terutamanya dalam drama Hati Yang Dikhianati.

“Banyak komen negatif yang dilemparkan tetapi saya mengambil pendekatan untuk melihatnya dari sudut positif dengan memperbaiki kekurangan yang diperkatakan itu.

“Alhamdulillah, sekarang lakonan saya menampakkan perubahan positif,” ungkapnya.

Mengulas lebih lanjut tentang drama siri yang disiarkan di platform penstriman Viu, anak sulung daripada tiga beradik itu mengakui teruja apabila berpeluang tampil dalam naskhah yang meneroka dunia fandom K-pop.

“Siri ini sangat istimewa buat saya. Banyak pengalaman pertama yang saya peroleh.

“Antaranya pertama kali menjayakan watak utama, pertama kali terbang ke Korea Selatan untuk menjalani penggambaran dan paling penting pertama kali diberikan peluang merakamkan lagu runut bunyi drama.

“Saya sangat menghargai kepercayaan yang diberikan dan berharap agar lakonan saya dalam drama ini juga mendapat maklum balas posistif daripada penonton,” katanya yang merupakan peminat K-drama dan K-pop sejak kecil lagi.

Rakam lagu

Berkongsi perasaannya merakamkan lagu tema siri tersebut yang berjudul In My Head, Arena menyifatkan peluang tersebut sebagai impian menjadi kenyataan.

Apatah lagi karya ciptaan sepenuhnya oleh MFMF itu tampil dengan muzik berbeza dan pantas mencuri perhatian pendengar.

Iklan
Bersama keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada Arena menggapai impian dalam hidup.

Ini termasuk bapa tersayang, Iman Wan yang merupakan bekas penerbit muzik yang cukup dikenali dalam industri.

“Mungkin ini adalah hadiah kepada kesabaran saya yang tidak pernah putus harapan untuk mencari peluang dalam bidang nyanyian dan ia juga menjadi minat pertama saya sebelum ini.

“Paling buat saya teruja apabila ayah saya yang sangat cerewet dan detail dalam menilai muzik juga memberikan respons positif.

“Bukan kerana saya anaknya tetapi kerana karya tersebut memang bagus,” katanya.

Tambah Arena yang cukup menggemari genre muzik R&B itu lagi, dirinya tidak pernah menggunakan pengaruh bapa untuk mencapai cita-cita dalam bidang muzik.

Iklan

Komposer yang cukup terkenal menerusi lagu Cinta Tak Berganti nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza itu sering menasihatinya agar menjalani proses dan menimba pengalaman dengan usaha sendiri.

“Ayah tahu saya sangat meminati bidang nyanyian tetapi tidak mahu saya terburu-buru. Malah, permintaan untuk dia hasilkan lagu untuk saya juga tidak dipenuhi.

“Sekarang saya faham tentang proses yang dimaksudkan dan sangat terharu bila tengok dia begitu teruja. Dia juga bangga dengan apa yang saya tampilkan dalam lagu ini,” katanya mengakhiri perbualan.

(FOTO: INSTAGRAM ARENA WAN)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi