PENULIS percaya, pasti ramai yang berkerut dahi memikirkan siapakah gerangan pemilik nama Amira Syahida Mohd Husin.

Memang benar, sekiranya diletakkan sebaris dengan bintang baharu seperti Iman Troye, Naim Daniel, Haqiem Rusli mahupun Wany Hasrita, itu satu hal yang tidak adil buat beliau.

Meskipun kehadirannya tampak sedikit asing dalam industri hiburan tanah air, ironinya gadis yang mesra disapa Amira itu pernah menyertai program rancangan realiti kanak-kanak, O Lala terbitan TV9 sekitar tahun 2009. Ketika itu, rezeki berpihak kepada dirinya apabila diangkat menjadi pemenang tempat ketiga.

 

Baca juga: Isyariana pelihara hubungan dengan ibu tidak jemu saling berbalas mesej dari pagi sampai malam

Baca juga: Kel Wen tolak guna ilmu hitam untuk hapuskan persaingan lebih senang pilih perbaiki diri sendiri

 

Sebelum itu, pada tahun 2006, beliau pernah memasuki pertandingan Idola Kecil. Namun, sayangnya, hanya mendapat tempat keenam ketika bersaing pada peringkat final.

Selepas program O Lala berakhir, Amira kemudian memilih untuk memberi fokus kepada pembelajaran memandangkan beliau ketika itu bakal menduduki dua peperiksaan penting iaitu Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia.

Sejak itu, dirinya tidak lagi berhasrat untuk terlibat dalam sebarang program televisyen mahupun mengikuti pertandingan sehinggalah tamat pengajian Diploma dan Ijazah jurusan Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

“Waktu itu saya fikir sudah cukup untuk bertanding dan sudah tiba masanya beri tumpuan kepada pelajaran. Andai ingin dibandingkan tahun 2009 dengan sekarang, sejujurnya saya rasa sudah tiada keyakinan untuk bersaing lagi. Buat masa sekarang, matlamat saya adalah untuk mencari kerja tetap,” ujarnya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Sisi peribadinya terus digali. Anak kedua daripada tiga adik beradik itu sememangnya lahir daripada keluarga seni. Bapanya, Mohd Husin dan ibu, Alina Saad merupakan bekas anggota polis yang turut terlibat dengan aktiviti nyanyian dan persembahan.

Malah, Alina juga pernah tampil bersama anaknya dalam rancangan O Lala.

“Ibu saya merupakan bekas pelajar jurusan muzik di UiTM, manakala bapa pula selepas bersara daripada unit beruniform, beliau menyertai Orkestra Filharmonik Malaysia sebagai pemuzik.

“Secara ringkasnya, ahli keluarga kami semuanya mahir bermain piano. Adik saya juga kini sedang menuntut dalam bidang sama dan di universiti yang sama juga,” kongsi beliau mengenai ahli keluarganya.

Cuba nasib

Amira bukan sahaja menjadi pemuzik sambilan, malah beliau juga terlibat sebagai penyanyi bagi memenuhi undangan majlis rasmi atau tertutup.

Setelah tamat pengajian di universiti, Amira tidak hanya berpeluk tubuh. Empunya diri memilih untuk bekerja sebagai pemuzik bebas dan penyanyi dengan memenuhi undangan majlis rasmi atau tertutup.

Beliau yang mahir bermain biola, telah menggunakan kelebihan itu untuk mencari sumber rezeki. Tidak bersendirian, belahan hatinya, Farin Irwan turut bersama-sama membuat persembahan sebagai pemain saksofon.

Meskipun banyak memenuhi undangan sejak empat tahun lalu, Amira sangat mendambakan satu kerjaya tetap agar lebih berkeyakinan mengharungi kehidupan.

Bukan bermaksud apa yang dilakukan sekarang tidak menguntungkan, tetapi setiap daripada kita pastinya mempunyai sasaran dalam hidup. Begitu juga dengan wanita berjiwa seni itu.

Kepada SinarPlus, Amira berkata, menjadi sebahagian daripada ahli keluarga pemuzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah sesuatu yang sangat diharapkan.

Bagaimanapun, kegagalan sebanyak dua kali dalam sesi temuduga tidak mematahkan semangatnya. Beliau akur dengan kehendak DBKL dan akan terus berusaha sehingga matlamat murni tersebut tercapai.

“Sejujurnya saya tidak berasa kecewa. Saya melihat kegagalan itu dari sudut positif dan berusaha untuk memperbaiki diri. Tambahan, untuk menjadi pemuzik DBKL, mereka lebih memberi fokus kepada kemahiran membaca nota muzik.

“Bukan mengatakan saya tidak mampu untuk melakukan hal itu, tetapi mungkin masih belum cukup atau bersesuaian dengan piawaian mereka. Tidak mengapa, sekiranya akan ada lagi sesi temuduga dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang, saya akan cuba lagi,” jelas beliau penuh semangat.

Melihat kepada sikap penuh optimistik itu, penulis seraya bertanyakan sama ada dirinya sudah tertutup hati atau masih menyimpan hasrat untuk terlibat dalam sebarang program televisyen mahupun tidak.

Masakan tidak, sejak kecil lagi beliau sudah terbiasa dengan corak hidup sebegitu. Jadi, untuk mengharunginya sekali lagi, barangkali bukan satu yang mustahil.

Dalam reaksi segeranya, anak kelahiran Selangor itu sambil memperbetulkan posisi duduknya berkata: “Sekiranya ada tawaran menyertai mana-mana rancangan televisyen, saya perlukan sedikit masa untuk membina keterampilan diri. Maklum sahajalah sudah lama tidak bertanding, jadi bimbang akan wujud rasa canggung.

“Membuat persembahan di depan khalayak mungkin bukan cabaran besar kerana sebagai pemuzik bebas dan juga penyanyi sambilan, perkara itu tidak lagi asing untuk saya. Cuma, saya perlu menambah sedikit lagi keyakinan untuk bersaing dengan peserta lain.”

Kematangan

Farin Irwan menjadi individu yang sentiasa menyokong kerjaya seni beliau.

Sambil bercerita perihal kerjaya, tertanya juga mengenai kesediaannya untuk berumah tangga. Maklumlah, segelintir berpendapat, usia awal 20-an terlalu muda untuk berkahwin. Sementara lewat 20-an pula dianggap sudah matang dan sesuai untuk menggalas kewajipan.

Disebabkan sudut pandangan berbezalah membuatkan setiap daripada kita memiliki falsafah tersendiri. Sama juga dengan Amira. Baginya, usia tidak memberikan gambaran tentang kemahuan seseorang untuk ‘membina masjid’ atau tidak.

Kekukuhan rumah tangga adalah berasaskan kesetiaan, kejujuran dan komunikasi. Ketiga-tiga itu bukanlah pilihan, namun sebaliknya ia merupakan tanggungjawab sebagai pasangan suami isteri, tegasnya meluahkan perspektif.
Tambahan, sudah menjadi asam garam dalam melayari bahtera perkahwinan, sesekali pasti wujud perbezaan pendapat.

“Pada saya, perkahwinan itu tidak boleh terlalu serius kerana sesekali kita tetap memerlukan sifat keanak-anakan. Jangan salah faham dengan sifat mengada-ngada kerana ia adalah dua perkara berbeza. Apa yang boleh saya katakan, perkahwinan itu mesti ada pahit manisnya,” kata wanita berusia 27 tahun itu.

Berkongsi ceritera cinta di antara beliau dengan kekasihnya, Farin Irwan, Amira memberitahu, mereka saling mengenali sejak tahun 2018. Ketika itu, kedua-duanya sama-sama membuat persembahan di sebuah hotel sewaktu bulan Ramadan.

Amira mengakui lelaki tersebut menjadi antara insan yang menjadi tulang belakang dalam kerjayanya sekarang. Jika sebelum ini kedua ibu bapa menjadi penyokong utama, sekarang tumpuan itu lebih terarah kepada Farin Irwan.

“Sebelum ini saya agak kekok dan kurang mahir untuk menyanyi dan bermain biola dalam satu masa sama. Berkat pertolongannya, saya sudah boleh menggunakan mikrofon tanpa wayar dan bergerak bebas membuat persembahan.

“Banyak perkara yang diajarkannya kepada saya memandangkan dia juga merupakan seorang pemuzik profesional. Jadi, kami saling melengkapi di antara satu sama lain,” ujarnya yang akan menamatkan zaman solo tidak lama lagi.

Tiga bahasa

Sejak kecil Amira sememangnya meminati dunia nyanyian dan pernah menyertai rancangan televisyen TV9, O Lala.

Sedang kami asyik bercerita, Amira secara spontan berkata, beliau memiliki kemahiran bertutur dalam bahasa Mandarin. Ilmu itu dipelajarinya ketika di bangku sekolah rendah.

Segalanya bermula dengan eksperimen ibu beliau. Tanpa mengasak keputusan bonda tercinta, Amira turutkan sahaja kemahuan keluarga yang mendaftarkannya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuang, Rawang, Selangor.

Dulu dirasakan amat sukar, tetapi kini beliau memanjatkan kesyukuran kerana pendekatan ibu telah memberinya satu kelebihan berbanding belia Melayu lain yang rata-rata mahir bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris sahaja.

“Ketika itu saya tidak melihat ia sebagai cabaran atau halangan kerana masih kecil. Memang agak sukar untuk bercakap bahasa Mandarin, tetapi lama kelamaan semuanya baik-baik saja.

“Kemudian saya pergi ke sekolah menengah kebangsaan. Memang agak sedikit berbeza sekolah jenis kebangsaan dengan kebangsaan. Gurunya lebih tegas dan tugasan sekolah lebih banyak, tetapi segalanya terpulang kepada kehendak hati. Belajar di mana sahaja sama saja asalkan ada kesungguhan, kita pasti berjaya,” kata pencinta kucing itu.

Kepada satu soalan, Amira berkata, beliau tidak melihat kehendak syarikat yang menginginkan pekerjanya mahir berbahasa Mandarin sebagai satu tindakan perkauman atau diskriminasi. Sebaliknya, hal tersebut bergantung kepada kekuatan dan kemahiran masing-masing.

Bahkan terdapat juga segelintir masyarakat Tionghoa tidak fasih bertutur dalam bahasa Mandarin sendiri. Justeru, kemahiran bertutur bahasa asing itu tidak hanya fokus kepada satu kelompak semata-mata, memandangkan ia bersifat universal dan meliputi di seluruh dunia.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram