SETIAP insan yang berkahwin pasti mengharapkan rumah tangga yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat.

Tiada siapa yang mengharapkan penceraian, namun siapa kita untuk menentukan takdir kehidupan.

Begitu jugalah dengan sosok bernama Nadia Najwa Mohamed Rashidi atau lebih dikenali dengan panggilan Nadia Brian ini.

Perkahwinan yang dibina pada 9 November 2019 berakhir dengan penceraian tidak sampai dua tahun kemudian.

Tidak ada mana-mana wanita yang mahu memegang status janda pada usia muda, namun selebriti berusia 31 tahun itu matang dan reda dengan perjalanan kehidupan.

Akui Nadia, fokus kini terarah kepada kerjaya seninya yang semakin baik.

“Saya single dan rasanya untuk raya nanti pun akan masih dengan status tersebut.

“Bulan puasa ini saya mahu meluangkan masa dengan anak buah dan keluarga.

“Kawan memang ramai, takkanlah saya nak cakap dengan pokok pula kan (tertawa). Kalau tak berkawan cakap dengan telefon sahaja, tak elok pula untuk kesihatan mental.

“Jadi, sekarang ini masih dalam proses berkawan tapi tidaklah tergesa-gesa macam ‘oh aku nak kena kahwin’.

“Kalau ditanya sama ada saya trauma untuk berkahwin sekali lagi, jawapan saya adalah tidak.

“Cuma sekarang fokus saya adalah pada kerja. Kita ‘pulun’ kerja bagi tip top dulu,” ujarnya yang berharap tidak ada diskriminasi terhadap golongan wanita yang bergelar janda.

NADIA BRIAN
Nadia gunakan masa cuti di bulan Ramadan untuk beribadah dan bersama keluarga. (Foto : Azrul Rafie)

Mengharungi bulan Ramadan dengan ibadah dan keluarga, Nadia berkata, apa yang lebih penting, dia bahagia dengan kehidupannya kini.

“Saya tidak terlibat dengan penggambaran jadi boleh berehat dan melakukan kerja amal, tapi tak perlulah saya kongsikan apa yang saya buat.

“Bila bekerja ‘back to back’, dapat berehat dan meluangkan masa dengan keluarga itu adalah satu momen yang indah.

Iklan

“Saya bersyukur kerana pernah melalui tempoh kawalan pergerakan sebelum ini kerana banyak menyedarkan saya tentang kehidupan,” jelasnya.

Usaha lebih

Dalam pada itu, menyentuh mengenai penglibatannya dalam drama premium, Kuasa, yang kini ditayangkan di saluran Astro Citra setiap Isnin, Nadia mengakui bersyukur apabila impiannya menjadi kenyataan.

NADIA BRIAN
Tidak kisah mengeluarkan duit poket sendiri demi memberikan yang terbaik untuk watak Delilah.

Justeru demi memberi komitmen terbaik untuk karakter Delilah, Nadia tidak berkira untuk mengeluarkan duit poket sendiri.

“Saya sudah lama mengimpikan untuk membintangi drama premium seperti Kuasa sebab proses pembikinannya berbeza dengan drama biasa.

Iklan

“Bagi menghidupkan watak Delilah, saya tidak fokus hanya pada pembinaan karakter, tetapi juga penampilan Delilah.

“Jadi saya upah jurusolek peribadi dan tempah pakaian daripada pereka fesyen supaya penampilan Delilah ini kena dengan perkembangan karakternya sebagai anak penerbit filem terkenal dan menguruskan sebuah empayar,” jelasnya.

Tambah Nadia, karakter sebagai Delilah juga sangat mencabar kerana dia membawa karakter berbeza dalam masa singkat dan menjadi penyelesai masalah yang dilakukan oleh ahli keluarganya.

“Setiap orang ada konflik mereka, begitu juga dengan Delilah. Tidak dinafikan ada masa rasa tertekan juga tetapi bantuan daripada pelakon lain juga sangat membantu,” katanya.

kuasa
Bintang utama drama Kuasa.

Selain Nadia, drama premium Kuasa turut dibintangi Nazim Othman, Ridzuan Hashim dan Ning Baizura.