SELEPAS Suga, kini dua lagi anggota kumpulan Kpop popular, BTS positif dijangkiti Covid-19. RM dan Jin disahkan positif pada Sabtu selepas keputusan ujian saringan PCR kali kedua diperolehi.

RM ataun nama sebenarnya Kim Namjoon itu tiba di Korea Selatan 17 Disember lalu dari Amerika Syarikat dan menjalani ujian saringan Covid-19 dengan keputusan yang negatif.

Bagaimanapun ujian kedua yang dibuat bintang tersebut pada hujung proses kuarantin kendiri di rumah itu kemudiannya didapati positif, namun tidak bergejala.

Sementara itu, Jin yang terlebih dahulu tiba di Korea Selatan pada 6 Disember, turut melalui perkara sama.

Jin mengalami selsema dan demam ringan sebelum memutuskan untuk menjalani ujian saringan kali kedua dan kemudiannya disahkan positif pada 25 Disember.

Terdahulu Suga yang pulang ke Korea Selatan pada Khamis lalu dan disahkan positif pada keesokan harinya selepas melakukan ujian PCR.

Ketiga-tiga anggota BTS ini bagaimanapun sudah mendapat vaksinasi lengkap sejak Ogos lalu. Kesemua mereka kini menjalani kuarantin kendiri dan berada dalam keadaan baik.