ROHAS Remi merupakan satu nama yang penuh misteri dalam dunia muzik tempatan. Namun, penglibatan lelaki berusia 40 tahun ini dalam industri seni bukanlah baru bermula.

Pada Oktober 2016, Rohas menghasilkan album berjudul Esok Masih Ide, sebuah album eksperimental art rock, hasil kolaboratif bersama produser dan kaki eksperimental, Kamal Sabran.

Dua lagu daripada album itu iaitu Tinggi Harap dan Fermina, telah mengangkat nama Rohas Remi dan membuatkan dia semakin dikenali ramai orang muda.

Namun begitu, sekitar tahun 2018 kehadiran Rohas semakin tidak dirasai dan lama-kelamaan dia seolah-olah hilang daripada dunia muzik.

Tidak berputus asa dengan perjalanan karier seninya, Rohas kembali dengan sebuah single baharu, Hai Nona Manis.

“Untuk album pertama, saya dan Kamal Sabran mengambil pendekatan yang sangat eksperimental, mungkin terlalu eksperimental dalam lagu-lagu saya.

“Sehinggakan saya sendiri tidak mampu menghadam lagu-lagu sendiri.

Iklan

“Perkara ini disebabkan konflik kepentingan; saya mahukan lagu-lagu yang lebih rancak dan mempunyai rentak yang lebih konsisten, Kamal mahu mencipta muzik ‘masa hadapan’.

“Tetapi untuk lagu-lagu baru ini, saya cuba untuk mengambil pendekatan yang kurang eksperimentasi dan lebih fokus kepada rentak dan melodi.

“Dari sudut lirik pun saya mengambil pendekatan yang sama. Waktu album pertama, kebanyakan lirik saya adalah tentang perkara-perkara umum; tanpa ada apa-apa cerita atau kisah, kadang-kadang hanya sekadar luahan diri secara abstrak.

“Lagu-lagu baru saya pula mempunyai cerita yang lebih senang untuk dikenal pasti,” jelasnya.

Iklan

Tambah Rohas, walaupun begitu, dia masih tetap mengekalkan gaya penulisan dan bahasa sendiri yang merangkumi identiti Rohas Remi.

Jelas Rohas, dia mendapat ilham daripada karya-­karya artis lain daripada pelbagai genre; daripada muzik yang paling ganas sampailah irama yang paling lembut.

Selain itu, inspirasi menulis juga datang daripada pengamatan mata dan penelitian bicara dengan teman-teman yang mencerminkan kehidupan manusia.

“Hai Nona Manis adalah tentang menghargai seseorang yang bakal kita cintai, dan mengenang kasih sayang selepas kita kehilangan orang yang menyayangi kita.

“Lagu ini adalah satu penanda aras baharu bagi saya dalam penulisan, kerana tema yang dipilih adalah sesuatu yang tak pernah disentuh iaitu tentang ‘Aku, Kau dan Dia’, yang membawa maksud cinta yang dikongsi antara saya, insan yang dicintai atau mencintainya dan Tuhan yang Maha Melihat,” ujarnya.

Hai Nona Manis sedia dilayari di pelbagai platform streaming seperti Spotify, Joox, iTunes, Deezer dan lain-lain. Selain daripada itu, sebuah video lirik juga sedia dilayari di YouTube Luncai Emas, hasil arahan Irfan Aljuffry.