ATAS sambutan luar biasa daripada peminat, Star Planet selaku penganjur mengumumkan akan menambah sehari lagi untuk konsert ulang tahun ke-26 kumpulan popular Indonesia, Ungu.

Konsert kumpulan itu sepatutnya dianjurkan pada 18 November depan bertempat di STAR Convention & Exhibition Centre, Menara PGRM, Cheras, Kuala Lumpur, namun ditambah dua hari ke 19 November.

“Kami amat berbesar hati dan mengharapkan dengan penambahan tarikh untuk persembahan Ungu ini dapat menggembirakan semua peminat setia mereka.

“Untuk membeli tiket konsert hari kedua, peminat boleh melakukannya pada hari Selasa, bermula pukul 12 tengah hari,” ujar Star Planet dalam satu kenyataan.

Tiket boleh didapati menerusi www.ticket2u.com.my yang dijual pada harga RM188, RM238, RM328, RM388, RM458 dan RM598.

Ditubuhkan pada 1996, kumpulan itu yang terdiri daripada Pasha selaku vokalis, Enda dan Oncy (pemain gitar), Makki (bass) serta Rowman (dram) mencipta populariti bukan hanya di negara sendiri bahkan Malaysia.

Iklan

Ungu pernah mencipta fenomena menerusi deretan lagu hit mereka seperti Demi Waktu, Tercipta Untukku, Andai Ku Tahu, Kekasih Gelapku dan Cinta Dalam Hati.

Bahkan pada 2005, album mereka yang berjudul Melayang mencapai kejayaan besar dan diterima baik sehingga meletakkan kumpulan itu sebagai superstar antarabangsa dan mencapai populariti luar biasa sehingga ke benua Asia.

Iklan

Ungu pernah dicalonkan untuk kategori Kumpulan Muzik Terbaik dalam Anugerah Muzik Asia MTV pada 2006 dengan rakaman single, Demi Waktu yang terkandung dalam album berkenaan.

Bukan itu sahaja, album studio ketujuh mereka berjudul Mozaik yang dikeluarkan pada 2015 laris terjual lebih 200,000 salinan dan memenangi Anugerah Album Platinum.