NAMA pelawak, penyampai radio dan usahawan, Shuib kembali menjadi perhatian selepas mengumumkan tidak lagi bersama stesen radio Hot FM bermula 23 Januari ini.

Baca Juga Shuib Tinggalkan Hot FM

Bukan itu sahaja, ketiadaan Shuib pada program siaran langsung Sepahtu Reunion Live 2020 sejak akhir Disember lalu menimbulkan banyak spekulasi.

Antara yang kedengaran adalah keputusan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, untuk meninggalkan karier seni bagi memberi tumpuan terhadap perniagaan BubbleBee yang semakin berkembang.

Justeru bagi memberi penjelasan lanjut mengenai beberapa isu berbangkit ke belakangan ini, Shuib meluangkan masa hampir dua jam bersama media menerusi sidang media secara atas talian malam tadi, Isnin.

Boleh kongsikan mengenai pengunduran daripada stesen Hot FM, adakah keputusan itu baru di buat dan mengapa kontrak Shuib tidak disambung?

Shuib : Saya dah bersama Hot FM sejak 2018 dan kontrak saya sepatutnya berakhir pada 31 Januari ini. Ikutkan pihak pengurusan sudah merancang untuk menyambung kontrak, bagaimanapun saya terlebih dahulu berjumpa Ketua Pegawai Eksekutif Ripple iaitu Seelan Paul bagi menyatakan hasrat saya.

Sejujurnya memang berat buat saya untuk tidak lagi bersama Hot FM kerana sepanjang dua tahun, kami ibarat satu keluarga besar. Bahkan ketika terpalit dengan beberapa isu tahun lalu, Seelan dan team Hot FM banyak memberi sokongan kepada saya.

Alhamdulillah sepanjang mengendalikan Geng Pagi Hot bersama Shuk dan Fizi, kami difahamkan ia adalah slot paling tinggi di Hot FM, walaupun ketika itu saya terpalit dengan beberapa isu.

Hari ini (Isnin), bila saya baca beberapa komen pendengar yang menyatakan sedih dengan pengunduran saya, saya rasa sangat dihargai. Rupanya ada yang mendengar saya di Hot FM.

Shuib memberitahu keputusan untuk meninggalkan Hot FM adalah yang paling sukar dilakukan.

Berundur daripada Hot FM, tidak kelihatan di Sepahtu Reunion, adakah Shuib ‘merajuk’ atau mempunyai perselisihan faham dengan geng Sepahtu?

Shuib : Saya tidak ada perselisihan faham dengan team Sepahtu, mahupun Sepahtu Reunion. Cuma saya ingin bercuti dan berehat buat masa ini.

 

Adakah ini juga signal Shuib mahu berundur daripada industri seni atau memperlahankan karier seni selepas ini?

Shuib : Saya tidak akan berundur atau berhenti daripada industri hiburan kerana ia adalah sesuatu perkara yang saya minat.

Sebelum ini saya banyak buat kerja dalam satu masa dan ia membuatkan saya agak kelam kabut.

Cuma buat masa ini saya rasa sudah tiba masanya saya memberi tumpuan terhadap perniagaan BubbleBee, memandangkan kami sudah ada kira-kira 600 pekerja di seluruh Malaysia.

Perniagaan ini sedang berkembang dan saya rasa ini adalah tempoh penting untuk saya beri perhatian terlebih dahulu.

Sekiranya sudah stabil, saya pasti akan kembali mewarnai industri seni, mahupun dunia radio. Cuma masa yang akan menentukan.

 

Pembukaan cawangan BubbleBee di Kuantan, Ahad lalu telah mencetuskan sedikit kontroversi apabila cawangan itu didakwa beroperasi tanpa lesen, boleh Shuib jelaskan keadaan sebenar?

Shuib : Saya akui kesilapan itu berpunca daripada diri sendiri. Sebenarnya lesen itu dalam proses dan kami minta runner yang uruskan. Sepatutnya pada hari pelancaran itu lesen tersebut diserahkan kepada kami. Bagaimanapun terdapat sedikit masalah dan lesen itu hanya diperoleh pagi tadi (Isnin).

Lain-lain kelemahan, kami akan perbaiki dan sejak awal lagi kami mengikut segala prosuder operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Malah kami juga tidak buat pemberian 100 cawan percuma bagi mengelakkan orang ramai berkumpul.

Iklan

Namun kami tak jangka kerana outlet di Kuantan menjadi outlet paling ramai dan tinggi jualan pada hari pertama pembukaan.

Alhamdulillah, kami juga sudah kembali beroperasi pada jam 2 petang Isnin dan sambutannya kembali hebat sama seperti hari pembukaan pada Ahad.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Shuib Sepahtu (@shuibsepahtu)

Ada yang merasakan Shuib sengaja mencipta kontroversi bagi menaikkan nama BubbleBee, komen Shuib?

Shuib : Saya bukan sengaja mahu mencipta kontroversi. Bayangkan kes di Kuantan, saya mendapat panggilan pada jam 2.30 pagi daripada CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) dan COO (Ketua Pegawai Operasi) yang memaklumkan mengenai BubbleBee ditutup kerana tiada lesen. Siapa yang suka untuk hadap dan terpaksa turut berbincang ketika itu juga.

Cuma saya anggap kontroversi seperti ini sebagai satu kelebihan kerana daripada orang mungkin tak tahu ada cawangan BubbleBee dibuka, orang jadi tahu dan datang untuk mencuba.

Shuib mendedahkan pekerja di cawangan Kuantan adalah paling ramai berbanding cawangan lain.

Apa yang dapat Shuib simpulkan selepas pelbagai kontroversi dan isu yang timbul pada tahun 2020?

Shuib : Saya letakkan positif paling depan. Tidak dinafikan perniagaan saya agak terjejas bermula dengan isu bantuan, kemudian diikuti dengan dipanggil membantu siasatan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Selepas kontroversi itu, ada yang datang di kedai (BubbleBee) hanya untuk maki saya.

Iklan

Alhamdulillah peguam saya memaklumkan saya tidak lagi terlibat dengan sebarang siasatan dengan SPRM.

Bila semua ini terjadi, saya anggap ia sebagai ujian untuk mengenal erti kawan sebenar.

 

Apa perancangan lain Shuib selepas ini?

Shuib : Saya target untuk membuka 100 cawangan BubbleBee di seluruh Semenanjung Malaysia dan diikuti di Sabah dan Sarawak serta negara luar seperti Singapura, Indonesia dan Brunei, Insya-ALLAH.

Selain itu saya merancang untuk menghasilkan cenderamata BubbleBee seperti T-Shirt dan juga pembukaan studio di bawah label BubbleBee.

Kami juga akan meneruskan kerja-kerja kebajikan di bawah Yayasan BubbleBee. Insya-ALLAH saya juga akan lebih aktif di YouTube menerusi saluran BubbleBee Studio selepas ini.

Sarah menyokong apa jua keputusan suaminya dan menyifatkan Shuib tidak terburu-buru dalam membuat keputusan.