Tinta Syurga, dokumentari istimewa Nuzul Quran

TINTA SYURGA
TINTA SYURGA
A
A
A

SEMPENA sambutan Nuzul Quran pada tahun ini, TV3 bakal menyiarkan dokumentari istimewa, Tinta Syurga, yang akan membawa penonton melihat misi menghasilkan mushaf (naskhah al-Quran bertulis tangan) untuk percetakan al-Quran di Malaysia.

Dokumentari istimewa ini akan berkongsi tentang proses penerbitan dan penerbitan al-Quran yang perlu melalui pelbagai peringkat tapisan.

Antaranya, sebelum dicetak kerja-kerja penyalinan ayat-ayat suci al-Quran sebenarnya dilakukan secara manual menggunakan tangan di atas kertas manuskrip bersaiz A1. Begitu juga dengan hiasan pada setiap halamannya yang dikenali sebagai seni zukhruf. Inilah antara cabaran misi mereka.

Setiap penerbitan dan percetakan al-Quran di Malaysia juga wajib memperolehi kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan tiada kalam suci ALLAH yang cacat dan silap.

Justeru sebuah entiti digelar Lajnah Tashih al-Quran KDN membawa peranan cukup besar sebagai usaha kerajaan untuk memelihara kesucian ayat-ayat al-Quran di Malaysia.

Dokumentari berdurasi satu jam itu juga merungkai bagaimana sejarah awal pengumpulan serta penyalinan wahyu ALLAH kepada sebuah mushaf sehingga membina tamadun ilmu yang tinggi dalam dunia Islam.

Penggambaran dokumentari tersebut mengambil masa selama 14 hari bermula pada 25 Feb hingga 14 Mac lalu yang membabitkan beberapa lokasi seperti di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Yayasan Restu, Shah Alam, Nasyrul Quran, Putrajaya, Masjid Al-Badr 1000 Selawat di Pulau Pangkor, Perak dan Kota Bharu, Kelantan.

Saksikan Tinta Syurga, pada 19 April, jam 9 malam, hanya di TV3.

(FOTO: TV3)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca