MESKI sedang berehat seketika daripada aktiviti seni demi menumpukan perhatian kepada kandungan cahaya mata keduanya, Datuk Seri Siti Nurhaliza tetap menitipkan sesuatu yang istimewa buat peminat setianya.

Tampil dengan muzik video lagu Takhta Dunia yang baru sahaja dilancarkan pada Jumaat, Siti mengharapkan agar peminat terus memberikan sokongan terhadap lagu yang dimuatkan dalam album Manifestasi SITI2020 itu.

Jika sebelum ini muzik video Kuasa Cintamu berjaya meraih, lebih dua juta tontonan, penyanyi yang baru sahaja dinobatkan sebagai Artis Paling Banyak Distrim di platform Spotify dan JOOX, itu turut mendambakan harapan sama menerusi muzik video ini.

Siti menyifatkan muzik video muzik Takhta Dunia sebagai pembuka lembaran tahun baharu dengan memberi mesej yang baik kepada masyarakat.

Menurutnya lagi, seiring dengan kemodenan dan perkembangan dunia hari ini, setiap individu tidak harus hilang nilai baik atau adab.

“Sebagai seorang penyanyi, saya bertanggungjawab mengetengahkan mesej yang baik menerusi lagu.

“Sesuai usia yang semakin dewasa dan matang, saya harus menghidangkan karya yang bukan sahaja memberikan hiburan tetapi kesedaran,” katanya yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-42 pada 11 Januari ini.

Dalam pada itu, Siti berkata, penggambaran video muzik terbitan Universal Music dan Siti Nurhaliza Productions itu merupakan antara kerja terakhirnya sebelum berehat panjang.

“Saya telah berbincang dengan pihak Rasa Film untuk tampil menggayakan imej wanita era 70-an bagi memberikan kelainan dalam setiap muzik video yang pernah dihasilkan,” katanya yang menggunakan khidmat pereka Rizman Ruzaini dan jurusolek Ahma Dhani bagi imej tersebut.

Bersesuaian dengan keindahan melodi dan lirik penuh makna ciptaan komposer terkenal Indonesia, Ryan Kyoto, muzik video Takhta Dunia digarap istimewa dengan elemen minimalis teater muzikal.

Pengarahnya, Azhar dari Rasa Film menonjolkan peranan penari serta pelakon sebagai medium penyampai mesej teguran secara simbolik.

Iklan

Muzik video muzik itu berlatarbelakangkan tahun 1970-an di sebuah stesen keretapi yang dinamakan Lipis Sentral dengan menggunakan lokasi penggambaran di ruang pameran luar Muzium Sultan Alam Shah yang menempatkan kepala dan gerabak keretapi lama.

Visual lakonan dalam muzik video kelapan lagu daripada album ManifestaSITI2020 itu banyak mengaitkan isu semasa masyarakat iaitu vandalism, tidak bertolak ansur dalam pengangkutan awam, buli siber dan lain-lain.

Muzik muzik rasmi Takhta Dunia kini boleh dilayari di saluran YouTube Siti Nurhaliza bermula 8 Januari.

Iklan

Album ManifestaSITI2020 pula boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, Youtube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan Deezer. Manakala CD album ManifestaSITI2020 boleh dilanggan dalam talian menerusi snp.onpay.my.

 

(FOTO: Universal Music Malaysia)