PENGARAH popular Shahrulezad Mohameddin meluahkan rasa kesal apabila ada krew dan pelakon yang tidak jujur sehingga sanggup memalsukan sijil vaksin.

Menurut Shahrulezad atau lebih dikenali dengan panggilan Budak Ijat, sejak kebelakangan ini, timbul khabar angin beberapa artis berpakat dengan ‘orang dalam’ untuk memalsukan sijil vaksin di MySejahtera bagi memastikan namanya ‘lepas’ untuk bekerja di lokasi penggambaran.

“Pada peringkat ini, saya tak tahu nak cakap apa lagi, apabila sampai satu peringkat krew dan pelakon sanggup menipu.

“Bila terjadi perkara perkara ngeri macam cerita di bawah ini, kami selaku penerbit yang sudah mengeluarkan belanja terpaksa menanggung akibat perbuatan pentingkan diri mereka.

“Penggambaran terpaksa dihentikan, terdapat jangkitan dalam produksi dan palong ngeri, kematian mungkin akan berlaku,” ujarnya menerusi medium Instagram miliknya.

Shahrulezad juga penerbit syarikat Radius One memuat naik hantaran itu bersama paparan skirn mengenai kes jangkitan terbaharu membabitkan satu produksi penggambaran yang dijalankan di Perak.

Iklan

Tambah pengarah yang meledak dengan drama seperti Nur dan Takdir Yang Tertulis itu, pihaknya tidak akan bertanggungjawab sekiranya ada krew mahupun pelakon yang menipu syarikat produksinya.

Iklan

“Tolong jujur sebab bekerja dengan niat menipu ini, tidak akan berkat. Kami juga tak reda bila ditipu.

“Jujur saya lebih menghormati artis atau krew yang terus terang mereka enggan mengambil vaksin dan berpegang pada pendirian itu. Sekurang-kurangnya mereka tidak menipu,” jelasnya.