Tolong peka dengan kebajikan kanak-kanak, jangan sesekali abaikan tanggungjawab - Aznil
BARU-BARU ini saya terbaca mengenai berita mengatakan pasangan selebriti Harris Alif dan Intan Ladyana melarang sesiapa sahaja untuk mencium puteri sulung mereka bernama Evie Khadeeja.
Seperti yang diduga, kumpulan netizen masing-masing meluahkan rasa tidak puas hati dan mengatakan perbuatan pasangan tersebut agak keterlaluan.
Sejujurnya, jika hal itu ditanyakan kepada saya, terus terang saya katakan, saya amat menyokong apa yang Harris dan Intan Ladyana lakukan lebih-lebih dalam situasi kini yang menyaksikan virus Covid-19 masih belum tahu bila akan berakhir sepenuhnya.
Keputusan mereka itu bagus dan saya mengharapkan warga maya berhentilah daripada terus mengecam mereka.
Secara peribadi, saya selalu berpesan kepada mereka di sekeliling saya agar jangan pegang tangan, pipi, peluk atau cium bayi orang lain sesuka hati.
Sebaiknya, lupakanlah seketika 'norma' lama itu. Perbuatan seumpama itu sememangnya tidak lagi bersesuaian dengan keadaan sekarang.
Penularan penyakit mudah sahaja boleh berlaku. Natijahnya, bukan sahaja memberi implikasi kepada si kecil, malahan kepada ibu bapa sekali.
Seperti yang diketahui ramai, kes jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) hingga Sabtu dua minggu lalu telah meningkat 20 kali ganda iaitu sebanyak 47,209 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Banyak, bukan?
Untuk kanak-kanak yang menghidap HFMD amatlah terseksa. Mendengar tangisan mereka menahan kesakitan, boleh menyentuh perasaan sesiapa sahaja.
Seingat saya, dulu, kes tersebut pernah wujud dan kemudian senyap sekejap, tetapi sekarang muncul sekali lagi dengan graf yang mencanak naik.
Kita kena faham, apabila bayi dan kanak-kanak dibelai, dipeluk atau dicium, mereka pastinya akan diam kerana perilaku itu melambangkan kasih sayang.
Namun, sekarang berbeza. Sebagai ibu bapa, kita perlu lakukan sesuatu demi mengelak hal-hal itu berlaku. Kita bukan mahu berlagak atau sombong, namun orang sekeliling kita kena memahami momentum dunia yang diselubungi dengan pelbagai virus dan penyakit.
Tanggungjawab ibu bapa
Selain HFMD, MIS-C atau Sindrom Keradangan Multisistem dalam Kanak-Kanak (MIS-C) juga agak menakutkan. Seperti yang diketahui ramai, komplikasi itu berlaku disebabkan jangkitan virus Covid-19.
Kesannya begitu bahaya kerana ia mampu menyerang organ penting seperti paru-paru dan ada kes yang berakhir dengan kematian, tidak mengira sama ada sudah mendapat vaksin atau sebaliknya.
Salah seorang kenalan saya, Johari Ishak yang juga Pengarah Urusan Awesome TV baru sahaja kehilangan anaknya disebabkan MIS-C.
Awalnya adik berusia 11 tahun itu telah dijangkiti Covid-19. Seterusnya Allahyarham difahamkan mengalami demam berlanjutan dan ia dipercayai merupakan salah satu kesan Long Covid-19.
Kanak-kanak tersebut juga disyaki menghidap demam denggi dan dikatakan perlu dimasukkan air ke dalam tubuh badannya. Namun, tanpa disedari air tersebut telah masuk ke dalam bahagian paru-parunya dan meninggal dunia.
Apa yang saya tahu, ini baru satu kes. Mungkin ada tragedi lain lagi yang kita tidak tahu.
Disebabkan itu, saya ingin menjadi suara kanak-kanak meminta agar ibu bapa atau penjaga tidak melengah-lengahkan untuk memberi vaksin, rawatan dan vitamin kepada anak-anak.
Saya bercakap begini bukan kerana saya memiliki produk vitamin, i-Qids. Apa sahaja vitamin lain juga tiada masalah, asalkan memberi perlindungan dalaman kepada mereka.
Pandang serius
Selepas memasuki fasa endemik, kanak-kanak juga sudah mula pergi ke sekolah dan bergaul dengan rakan-rakan.
Saya sangat mengharapkan agar pihak sekolah turut mengawal dan memantau para pelajar agar mengehadkan pergaulan dan mengingatkan mereka jangan sesekali bersentuhan.
Bukan sahaja soal penyakit, tetapi saya juga ada terbaca mengenai satu kajian antarabangsa yang mengatakan, darjah kecerdasan (IQ) anak-anak semakin menurun ke paras yang membimbangkan.
Hal berkenaan dipercayai berpunca daripada sistem pembelajaran dalam talian yang mengakibatkan kanak-kanak hilang minat untuk belajar sekali gus mengganggu tumpuan mereka.
Kanak-kanak juga dikatakan mudah tertekan, hilang fokus, memberontak, cepat mengantuk dan sukar untuk memahami sesi pembelajaran dengan baik.
Disebabkan itu saya ingin bertanya kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai tindakan yang lebih ampuh untuk membantu meningkatkan semula IQ para pelajar?
Dalam hal tersebut juga, bukan sahaja KPM, malah semua pihak khususnya ibu bapa memandang serius dan memainkan peranan bagi membantu tumbesaran dan pembelajaran anak masing-masing.
Sekiranya masih tiada lagi solusi, saya risau mereka akan keciciran ditambah pula beberapa peperiksaan seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah telah dihapuskan.
Bukan apa, bimbang ia akan memberi kesan kepada masa depan mereka terutamanya saat mereka ingin menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Tidak dinafikan, KPM barangkali sudah ada pelan tertentu yang bakal diimplemenkan kelak. Namun, bagaimana peranan dan fungsi kita sebagai ibu bapa dan masyarakat?
Sebelum mengakhiri tinta, ingin saya berkongsikan sedikit cerita. Ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, saya singgah ke kawasan Rehat dan Rawat di sebuah lebuh raya untuk memberikan duit raya kepada si kecil.
Selepas menerima sampul, mereka ingin bersalam dan mencium tangan saya sebagai simbol adab dengan orang dewasa. Namun, dengan penuh lembut dan tatatertib saya terpaksa berkata 'jangan'.
Ya, benar. Ada antara mereka yang terkejut, tetapi perlindungan bagaimana lagi yang kita boleh lakukan kepada mereka?
Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang