Tremendous lambang persahabatan sejati 6ixthsense

6IXTHSENSE
6IXTHSENSE
A
A
A

DI SEBALIK kehadiran bakat-bakat baharu yang memeriahkan dunia seni tanah air, kumpulan 6ixthsense terus bertahan memperjuangkan karya muzik mereka kepada umum.

Kini setelah lama menyepikan diri tanpa sebarang single, kumpulan yang dianggotai oleh Adi Priyo Sambodo atau Adi selaku vokalis, Gjie (gitar utama), Athan (gitar kedua), Ayoy (bass) dan Wan (drum) kembali dengan buah tangan baharu, Tremendous.

Menurut Adi, single yang menggunakan judul bahasa Inggeris itu muncul pada waktu yang tepat dan menjadi signifikan untuk keseluruhan lagu itu.

Apatah lagi karya ciptaan sepenuhnya oleh Adi sendiri bersama Nawfas, Yoya, Athan dan Harry itu mengangkat kisah persahabatan sejati yang terjalin di antara mereka sejak bermula dalam industri sehingga ke hari ini.

Tremendous sebenarnya berhubung kait dengan 6ixthsense dan persahabatan kami selama 17 tahun yang melalui pelbagai liku dan fasa naik turun dalam kerjaya.

“Kami menghasilkan lagu ini sebagai cerminan pada persahabatan selama ini dan juga menjadikan ia lagu pembakar semangat kepada semua pencinta muzik dan peminat setia,” ujarnya kepada SinarPlus.

Jelas Adi lagi, demi mencari kelainan dan menyajikan sesuatu yang berbeza buat peminat, hala tuju muzik 6ixthsense kini sedikit berubah. Bukan kerana ia sebuah eksperimen tetapi sebagai indikasi dewasa kumpulan yang begitu sinonim dengan lagu-lagu cinta itu.

“Seiring kedewasaan dalam dunia muzik, kali ini kami ingin menyajikan kelainan dengan menyampaikan lagu yang penuh dengan semangat muda, persahabatan dan pengorbanan.

“Apatah lagi, bait lirik penuh dengan kekuatan magis pembangkit semangat persahabatan dan mampu menjadi inspirasi kepada semua,” katanya.

Semangat

Tidak hanya itu, muzik video lagu Tremendous itu juga mempunyai penceritaan yang tersendiri menerusi plot penculikan seorang wanita.

“Muzik video Tremendous menyentuh kisah tentang seorang wanita yang diculik dan sahabat yang mencuba menyelamatkan dirinya tanpa mengenal rasa takut.

“Walaupun berdepan risiko dia tetap redah demi seorang sahabat. Itu jugalah gambaran persahabatan kami dalam 6ixthsense,” jelasnya.

Kumpulan yang pernah meraih kejayaan dengan menjual lebih 100,000 unit album fizikal dan lebih 2 juta muat turun secara digital menerusi empat buah album studio itu mengharapkan agar single tersebut mampu mengubati rindu peminat.

“Menerusi penghasilan Tremendous, kami berharap dapat kembali memeriahkan industri muzik tempatan dan Nusantara yang sebelum ini ‘terganggu’ disebabkan pandemik Covid-19.

“Jangan berputus asa untuk terus menghasilkan karya-karya yang hebat dan usah mudah patah semangat dalam mengerjakan sesuatu,” ujar Adi penuh semangat.

Single Tremendous kini tersedia di kesemua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX dan lain-lain bermula 17 Mac lalu. Muzik video pula boleh ditonton menerusi saluran YouTube 6ixthsenseTV.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca