MENGAKUI bukan mudah untuk menempatkan diri dalam industri, penyanyi dan komposer muda, Tuah Adzmi, menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin untuk mengumpul pengalaman.

Biarpun dua single awalnya kurang mendapat sambutan, Tuah atau nama sebenarnya Arumi Nafiz Mohd Adzmi, 23, tidak pernah berputus asa untuk terus berkarya.

Apatah lagi sejak dua tahun lalu, kerjaya seninya lebih teratur apabila berada di bawah pengurusan syarikat rakaman FMC Music.

“Pada awal kemunculan dulu, saya bergerak sendiri. Lagu-lagu nyanyian saya hanya diketengahkan menerusi laman YouTube, tanpa promosi yang sepatutnya.

“Apabila mula bersama FMC sejak dua tahun lalu, barulah saya nampak arah tuju dan perancangan yang lebih baik untuk kerjaya nyanyian saya.

“Banyak benda diatur oleh syarikat rakaman, selain pelbagai peluang dibuka untuk saya mengembangkan bakat menerusi landasan betul, sekali gus memperbaiki kekurangan yang ada sebelum ini,” katanya kepada SinarPlus.

Pernah tampil dengan empat single sebelum ini, Tuah yang turut aktif dalam bidang penciptaan lagu itu kini dalam persediaan untuk tampil dengan single terbaharu tidak lama lagi.

“Single berjudul Kecewa yang dilancarkan beberapa bulan lalu, mendapat sambutan sangat baik daripada penonton dan memberi saya semangat untuk tampil dengan karya lebih bagus selepas ini.

“Saya sudahpun menghantar beberapa buah karya ciptaan saya kepada label dan sekarang kami dalam proses pemilihan lagu terbaik dan bersesuaian dengan trend muzik semasa untuk dijadikan single baharu.

“Saya harap ia dipermudahkan agar single itu dapat dikongsi dengan peminat dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, Tuah bersyukur kerjaya seni disokong penuh oleh ibunya yang sentiasa menjadi pembakar semangat untuk terus mengejar impian.

Iklan

“Ibu sentiasa menyokong penuh minat saya dalam muzik dan percaya dengan bakat yang saya ada.

“Kata-katanya sering saya jadikan sebagai semangat untuk berjaya pada masa akan datang,” katanya yang meraikan Aidifitri berdua bersama ibunya di Kuala Lumpur.

Pernah digelar sebagai ‘anak emak’, Tuah sedikit pun tidak terkesan dengan anggapan sebegitu kerana dia sendiri berbangga mempunyai seorang ibu yang sentiasa mengambil berat tentang dirinya.

Iklan

“Saya merupakan anak tunggal dan hidup berdua dengan ibu yang berstatus ibu tunggal sejak berumur lima tahun lagi. Walaupun masih muda, saya sebenarnya lebih matang dari usia kerana semenjak kecil sudah terbiasa menjadi ketua keluarga.

“Saya tidak kisah pun orang gelarkan saya sebagai ‘anak emak’ kerana memang begitulah hakikatnya di mana saya sentiasa dengan ibu. Kalau bukan saya, siapa lagi yang nak jaga ibu?

“Jadi, andai bertemu jodoh kelak, saya berharap wanita tersebut dapat menerima ibu sebagaimana dia menerima saya,” tegasnya.