Tuah Elica Paujin, beri sebahagian wang kemenangan kepada keluarga

A
A
A

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu. Pepatah itu mungkin sesuai untuk menggambarkan perjalanan Elica Paujin dalam Big Stage 2022.

Walaupun tiga kali berada di kedudukan tiga terbawah termasuk pada minggu suku dan separuh akhir, anak kelahiran Tambunan, Sabah itu membuktikan dia mampu memecut di saat akhir untuk dinobatkan sebagai juara.

Tampil dengan persembahan memukau menerusi lagu Cinta nyanyian asal Marsha pada segmen Ultimatum Solo dan berduet bersama Hael Husaini menyampaikan Believer, di segmen Ultimatum Duet, Elica telah memukau barisan juri dan penonton.

FINALIS BIG STAGE 2022Dari kiri : Yazmin Aziz (tempat keempat), Daniel Chuer (tempat kedua), Elica, Aisha Retno (tempat ketiga) dan Tegar Septian (tempat kelima).

Berjaya mengumpul markah keseluruhan 78.93 peratus, Elica meleburkan impian empat finalis lain iaitu Daniel Chuer, Aisha Retno, Yazmin Aziz dan Tegar Septian, dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 berserta trofi.

“Jujurnya saya tidak menjangkakan langsung akan bergelar juara dan fikir Aisha atau Daniel yang akan memenanginya. Tambahan pula mental saya agak terganggu setelah dua minggu berturut-turut berada di kedudukan tiga terbawah. Saya cuba lakukan yang terbaik untuk mengagumkan barisan juri.

“Saya sangat bersyukur ada penyokong di luar yang kuat menyokong. Dapat melihat markah juri melebihi 90 pun sudah menjadi satu kejayaan buat saya sebab sebelum ini sudah lama tidak mendapat markah sebegitu.

“Terima kasih juga kepada juri sebab banyak beri input kepada kami semua dan pembelajaran untuk saya juga supaya lebih bijak mengatur persembahan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui sebaik berakhir program Big Stage 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

Pada pentas akhir itu, Daniel berada di tempat kedua menerima hadiah berupa hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi, manakala tempat ketiga menjadi milik Aisha yang menerima hadiah wang tunai RM25,000 berserta trofi.

Tempat keempat menjadi milik penyanyi Yazmin dan Tegar hanya mampu berpuas hati menduduki tempat kelima. Masing-masing membawa pulang RM15,000 dan RM10,000.

juriPersembahan para finalis dinilai oleh juri tetap, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ajai, bersama juri juara, Aliff Aziz. Sementara Aina Abdul kembali sebagai juri jemputan dan Elly Mazlein sebagai juri pedas, di samping Datuk Seri Vida selaku presiden netizen.

Dalam pada itu, ditanya perancangan wang kemenangan dan karier seninya selepas ini, gadis berusia 22 tahun itu mahu mengotakan janjinya untuk menyerahkan sebahagian wang kemenangan kepada ibu dan bapanya.

“Baki wang kemenangan itu saya rancang untuk adakan showcase buat peminat di Sabah sebab mereka tidak dapat datang ke sini untuk memberi sokongan. Selain itu, saya akan gunakan juga untuk perjalanan karier seni.

“Saya juga sudah merancang untuk tampil dengan single baharu dan seimbangkan karier di Semenanjung serta di Sabah,” ujarnya yang tidak menolak untuk mendapatkan lagu daripada penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini.

Layanan istimewa

Sementara itu, ketika tampil membuat persembahan sama ada di segmen solo mahupun duet, kemunculan Elica bersama mikrofon merah yang dikenal pasti milik Hael telah menarik perhatian ramai.

ELICA DAN HAELTidak hanya hadir sebagai pasangan duet, Hael membantu Elica dengan meminjamkan mikrofon peribadinya untuk digunakan Elica dalam dua persembahan finalnya.

Diusik mengenai mikrofon yang dianggarkan bernilai puluhan ribu ringgit itu, Elica berkata, Hael sendiri yang menawarkan kepadanya untuk menggunakan mikrofon tersebut.

“Saya sangat berterima kasih kepada Hael kerana dia bukan hanya hadir sebagai pasangan duet saya tetapi beri pinjam mikrofon. Ada aura AJL (Anugerah Juara Lagu).

“Mengenai mikrofon, dia sendiri yang tawarkan ketika sesi latihan. Takut juga nak pegang mikrofon itu tetapi dia beri saya kepercayaan dan saya sangat menghargainya.

“Hael juga banyak membantu berkongsi pelbagai tip untuk vokal dan persembahan.,” katanya yang tetap berusaha keras untuk memberikan persembahan terbaik.

Konsert akhir Big Stage 2022 yang dihoskan Alif Satar dan Sherry AlHadad, dimeriahkan dengan persembahan penutup oleh Siti Nurhaliza dan Aina.

Untuk rekod, penyanyi Sarah Suhairi berjaya merangkul gelaran juara sewaktu penganjuran musim pertama pada 2018. Bintang Korea Selatan, Han Byul muncul sebagai juara musim kedua (2019), manakala Azzam Sham juara musim ketiga (2020).

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca