Tuah naskhah popular, Fadhli Masoot makin jadi perhatian

A
A
A

NASKHAHProjek: Anchor SPM dan diikuti Projek: High Council nampaknya telah melonjakkan nama Fadhli Masoot dalam industri seni.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bakat yang dicungkil menerusi filem pendek Lelaki Yang Dirindui pada tahun 2018 itu adalah antara pelakon pelapis berkaliber.

Bersyukur dengan peluang dan ruang yang diterima, jejaka berusia 26 tahun itu tidak mahu mendabik dada.

Bagi Fadhli atau mesra disapa dengan panggilan Alang, masih banyak tentang lakonan yang mahu diterokainya.

“Tidak dinafikan dua naskhah itu iaitu Anchor SPM dan High Council telah melonjakkan nama saya sehinggakan ada yang memanggil saya dengan nama Hakeem (watak dalam High Council) ketika melihat saya di lampu isyarat.

“Bagaimanapun saya tidaklah rasa sudah cukup glamor seperti rakan lain. Cuma dalam High Council, semua pelakon naik secara sama rata.

“Saya rasa bersyukur kerana orang dapat rasa keberkesanan watak saya walaupun watak itu tidak besar mana,” ujarnya kepada SinarPlus.

Berharap terus diberi peluang dan ruang untuk membuktikan bakat, penglibatan anak jati Negeri Sembilan itu dalam bidang seni tidak hanya terhad kepada bidang lakonan.

[caption id="attachment_114992" align="alignnone" width="800"]Fadhli teruja kerana dapat menyertai Mega Spontan bersama rakan baiknya, Naim Daniel.[/caption]

Justeru apabila tawaran menyertai pertandingan lawak spontan secara improvisasi, Mega Spontan datang, Fadhli sukar menolaknya.

“Saya tidak mahu terus berada di zon selesa (berlakon), jadi tawaran menyertai Mega Spontan saya anggap sebagai cabaran untuk diri sendiri.

“Kalau nak ikutkan saya ini hanya sekeping kertas, jika dibandingkan dengan bintang lain yang menyertai program ini sudah seperti pokok dengan akar yang kuat.

“Pastinya saya gementar kerana berlakon drama komedi, tidak sama dengan membuat komedi secara spontan,” jelasnya.

Tambah Fadhli, biarpun tidak membayangkan sampai ke final, namun sekiranya ada rezeki, dia berharap dapat mempamerkan sisi lain dalam dirinya kepada peminat.

Buli

Sementara itu, ditanya mengenai naskhah Projek : High Council yang dikaitkan dengan gejala buli pelajar di sebuah sekolah menengah baru-baru ini, Fadhli berkata, pandangan orang mengenai isu itu tidak dapat dikawal.

Jelasnya, sejak awal pembikinan drama 10 episod itu lagi, para pelakon yang terlibat sudah menjangkakan akan dipersalahkan sekiranya ada kes buli berlaku di sekolah.

“Kalau nak bercakap mengenai kes buli, ia sudah ada sebelum Projek : High Council ditayangkan lagi. Mesej utama yang ingin kita sampaikan dalam drama itu pun adalah mengenai bahaya buli dan kesannya pada orang yang dibuli, selain kekeluargaan dan kasih sayang.

“Mengapa mesej baik tidak diberi perhatian, tetapi yang buruk pula dituding pada kami? Bagaimanapun saya faham, memandangkan drama itu yang sedang viral, jadi orang kaitkan.

“Cuma pada saya jika kita tonton atau buat sesuatu, pilihan itu ada di tangan sendiri, sama ada nak ikut yang baik, atau buruk,” tuturnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca