SIAPA sangka niat P. Radhi menghiburkan pengikut di laman TikTok dengan menyanyikan semula lagu Tiara nyanyian asal kumpulan Kris dalam versi Tan Sri P. Ramlee akhirnya membuka peluang untuknya melebarkan bakat dalam industri.

P. Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi AB. Rahman, berkata, semenjak kecil lagi dia begitu meminati P. Ramlee dan sering menyanyikan lagu seniman agung itu setiap kali menyertai pertandingan nyanyian.

“Saya tidak sangka lagu Tiara versi P. Ramlee yang bermula daripada nyanyian bersahaja di Tik Tok itu mendapat sambutan baik, malah menjadi tular dan diperkatakan ramai.

“Tidak kurang, ada antara mereka yang mengatakan rindu pada nyanyian Allahyarham sedikit sebanyak terubat dengan mendengar lagu Tiara dendangan saya.

“Jujurnya saya terharu dan gembira jika benar nyanyian saya mengingatkan kembali orang ramai kepada seniman agung kita. Terima kasih kepada semua yang menyokong dan mendoakan saya,” ujarnya.

Tambah juara Bintang P. Ramlee Kebangsaan pada tahun 2016 itu lagi, bukan hanya nyanyian, tetapi dia juga amat meminati lakonan seniman agung tersebut.

Tidak hairanlah gaya dan penampilannya juga dilihat mempunyai pengaruh daripada ikon kesayangannya itu.

“P.Ramlee dan karya-karya beliau begitu dekat dengan saya menyebabkan saya mahu menghargainya dengan mengajak orang ramai untuk terus mengingati bakat dan sumbangan Allahyarham dalam industri seni,” katanya.

Hargai peluang

Usaha bintang berusia 31 tahun itu turut mendapat perhatian daripada syarikat rakaman Luncai Emas yang memberi peluang kepadanya merakamkan kembali lagu Tiara, karya ciptaan M.Nasir sebagai single baharu dalam versi P. Ramlee.

Iklan

“Alhamdulillah untuk rezeki ini. Saya sangat berterima kasih kepada Luncai Emas kerana menerima bakat dan memberi peluang kepada saya merakamkan semula lagu Tiara.

“Lagu asal ciptaan M.Nasir itu memang sudah terbaik, saya sekadar menyanyikan semula dalam versi P.Ramlee,” katanya yang kini merupakan bakat baharu yang bernaung di bawah Luncai Emas.

Tiara versi P. Ramlee nyanyian P.Radhi boleh didengari di semua pelantar strim seperti Spotify, Joox, Apple Music, KKBox, Deezer dan Itunes Store.

Iklan

Sementara muzik videonya yang menjalani penggambaran di Melaka itu pula kini boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas. Karya arahan Juril Jumali yang diinspirasikan daripada filem Penarek Becha tersebut sudah meraih lebih 30,000 tontonan dalam masa tiga hari dilancarkan.

Selepas Tiara, syarikat rakaman tersebut kini dalam perancangan mengeluarkan beberapa single lain sama ada dalam bentuk nyanyian semula mahupun original. Begitu juga lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dengan dendangan dan gaya tersendiri daripada P. Radhi.

(FOTO: LUNCAI EMAS)