KES penculikan melibatkan kanak-kanak merupakan antara kes jenayah yang sering berlaku dan kerap mendapat perhatian ramai.

Malah kisah mengenai kes penculikan ‘van putih’ yang cukup popular dan pernah menjadi bualan ramai suatu masa dulu masih menjadi igauan ngeri kepada orang ramai.

Situasi tersebut menjadi inspirasi kepada syarikat produksi Osmosis Production Sdn. Bhd. untuk menghasilkan sebuah filem aksi berjudul Tujuh Dua Belas yang mengangkat tema tentang jenayah berkenaan.

Pengarahnya, Thorpe Ali berkata, ilham untuk menghasilkan filem tersebut bermula sejak 10 tahun lalu dan ideanya bermula dengan kisah penculikan kanak-kanak yang hangat suatu ketika dahulu.

Judul Tujuh Dua Belas sebenarnya memberi maksud kejadian penculikan yang berlaku dari pukul 7 pagi hingga 12 malam. Ia memberi mesej bahawa sekiranya berlaku kejadian sebegini, tindakan pantas harus diambil segera.

“Kejadian penculikan ini selalunya tidak menunggu masa lama kerana mudah dikesan dan filem ini menunjukkan watak utamanya berusaha untuk mencari penculik,” ujarnya.

Sebelum ini, Thorpe adalah individu yang bertanggungjawab dalam penerbitan sebuah rancangan popular siri seni beladiri di TV3 berjudul Mahaguru sekitar tahun 90-an.

Tujuh Dua Belas menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Farali Khan yang menjadi teraju utama selain Johan As’ari dan Adam Darwisyh.

Thorpe melakukan perbincangan bersama pelakon Johan As’ari memulakan babak.

Menariknya lagi, filem ini juga turut menampilkan pesilat kelahiran Indonesia yang popular di media sosial iaitu Chintya Chandranaya.

Ia mengisahkan tentang Safia, seorang atlet seni mempertahankan diri yang terpaksa bertarung nyawa untuk menyelamatkan anak saudaranya yang diculik oleh sekumpulan penyeludup organ manusia.

Mesej penting

Menurut Thorpe, genre aksi merupakan antara naskhah yang digemari penonton selain filem-filem bergenre seram dan komedi.

Justeru dia mengharapkan agar filem itu dapat menarik lebih ramai penonton ke panggung, sekali gus menghadam mesej yang dibawa dalam filem terbabit.

Iklan

“Kebanyakan filem aksi selalunya memaparkan watak lelaki selaku tunjang utama, tetapi filem ini mengangkat golongan wanita yang lincah dalam seni bela diri.

“Disebabkan itu saya memilih pelakon seperti Farali Khan kerana dia memiliki asas seni bela diri MMA, begitu juga pemilihan Chintya yang sememangnya tular dengan aksinya menendang tong gas terutama sekali di YouTube.

“Bagaimanapun kami berdepan cabaran sepanjang pembikinan filem ini apabila pergerakan agak terbatas, selain banyak babak tidak dapat dibuat memandangkan ketika itu negara masih lagi dalam PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” jelasnya.

Antara babak menarik melibatkan aksi pelakon wanita dalam Tujuh Dua Belas.

Dalam pada itu, pengarah terbabit turut berkongsi tentang perancangannya untuk menghasilkan sekuel naskhah aksi itu sekiranya ia mendapat sambutan hangat daripada penonton.

Iklan

“Sekiranya filem ini mencipta kejayaan, kami juga sudah mempunyai perancangan untuk menghasilkan sekuel yang kedua dengan gabungan pelakon-pelakon Malaysia, Indonesia dan Kemboja,” ujarnya.

Filem Tujuh Dua Belas yang menjalani penggambaran sekitar Januari tahun lalu di Kuala Lumpur, selain beberapa lokasi di Perak iaitu serta Gopeng, Lenggong dan Pengkalan Hulu itu akan menemui penonton di pawagam bermula 4 Mei depan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.