HAMPIR dua tahun menyepi, penyanyi Aman Aziz kembali mengatur langkah  menerusi penampilan single baharu berjudul Tunggu Lama.

Mengakui terpaksa menempuh laluan berliku untuk memahat nama pada kedudukan selesa dalam industri, Aman yang juga merupakan bekas naib juara Akademi Fantasia musim ke-11 itu tidak pernah berputus asa.

Single Tunggu Lama memberi semangat baharu pada dirinya untuk terus bangkit mengejar cita-cita.

“Saya bertekad untuk bangkit dan teruskan perjuangan kerana didorong oleh keinginan serta keyakinan bahawa jika kita berusaha, pasti akan ada sinarnya pada kemudian hari.

“Dalam hal ini, saya berterima kasih kerana mereka yang sentiasa percaya saya mampu melakukannya dan tidak jemu memberikan dorongan untuk melihat saya berjaya,” katanya.

Berkongsi tentang penghasilan single baharu tersebut, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Sulit itu berkata, idea penghasilannya tercetus ketika dia ‘terperangkap’ di Melaka, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun lalu.

“Saya buntu apabila beberapa projek dibatalkan dan aktiviti kerjaya seni pula terhenti. Tanpa persediaan rapi, saya agak bergelut meneruskan hidup. Banyak perkara yang bermain di fikiran ketika itu, apatah lagi kedudukan sebagai penyanyi masih belum kukuh.

“Saya tertanya-tanya apakah saya dapat kembali bangkit meneruskan langkah dalam bidang ini. Ketika saya keliru dalam mencari haluan hidup, pengurus banyak memberikan input.

“Dia memberi cadangan supaya saya cuba dan belajar menghasilkan melodi. Kami banyak berbincang dalam mencari hala tuju baharu dalam kerjaya muzik saya. Bertitik tolak dari situ, akhirnya Tunggu Lama direalisasikan,” katanya.

Inspirasi muzik K-Pop

Memandangkan dirinya masih amatur dari sudut penciptaan lagu, Aman, 28, mendapatkan khidmat Amzar Razqa bagi mengolah dan mencantikkan lagi struktur single yang menyuntik nuansa muzik Latin dan K-Pop.

“Cabaran utama adalah untuk mencari idea dalam penghasilan melodi kerana banyak faktor perlu dipertimbangkan. Apatah lagi, single ini saya anggap umpama penentu masa depan dalam industri muzik.

Iklan

“Tunjuk ajar daripada mereka yang jauh lebih berpengalaman sangat penting. Tanpa kerjasama secara berkumpulan dan tolak ansur antara satu sama lain, sukar untuk merealisasikan karya ini,” jelasnya.

Tunggu Lama yang dipendengarkan di platform Joox bermula 18 Oktober lalu adalah cetusan idea bersama Amsyar Razqa, Saballa, Acu Panakorn dan Aman Aziz, manakala lirik pula sentuhan bersama Amzar & Amsyar Razqa, Acu Panakorn dan Aman Aziz.

Menurut Aman lagi, dalam usaha memastikan single terbaharu itu diterima ramai, dia banyak membuat rujukan dengan mendengar lagu-lagu daripada penyanyi Korea Selatan.

Iklan

“Dari situ, saya cuba menghasilkan melodi untuk disesuaikan dengan pasaran muzik di negara ini.  Saya turut mendengar lagu tempatan yang mendapat tempat di hati peminat, terutama remaja.

“Lagu ini juga banyak menceritakan pengalaman saya sendiri, terutama cabaran bertahan dalam industri muzik ketika dunia masih bertarung dengan pandemik.

“Cuma lirik diubah sedikit kepada tema cinta untuk mendekati peminat muda,” katanya.