TIDAK mahu ketinggalan untuk meraikan peminat-peminat di Malaysia, band rock unggulan dari Indonesia, NOAH bakal tampil dengan sebuah konsert istimewa, YOLO Malaysia – NOAH Live In KL pada 12 November depan.

Menurut penganjur, YOLO Malaysia yang akan berlangsung jam 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur itu bakal menawarkan pengalaman berbeza dan luar biasa yang belum pernah dirasai di mana-mana lokasi konsert sebelum ini.

Penerbit Eksekutifnya, Haniff Hamzah, berkata, pemilihan NOAH adalah disebabkan kemampuan mereka dalam menjayakan persembahan hebat di pentas, selain mempunyai ramai pengikut setia.

“Demi menyambung bahang muzik rock itu sendiri, kami bawakan NOAH yang mempunyai ramai peminat di Malaysia.

”Pemilihan band tersebut dibuat atas dasar kemampuan mereka mengadakan persembahan hebat yang pastinya dapat dirasai setiap pengunjung konsert nanti.

”Ini hanyalah permulaan dan semoga ramai lagi aksi-aksi antarabangsa yang bakal dipersembahkan kelak,” ujarnya.

NOAH bersama wakil Yolo Malaysia.

NOAH kini dianggotai oleh Nazril Irham atau lebih dikenali sebagai Ariel selaku vokalis utama, Lukman (gitar,) dan David (keyboard).

Band yang ditubuhkan pada Ogos 2012 itu menyatakan keterujaan mereka untuk membuat persembahan di Malaysia bagi menghiburkan peminat-peminat di Malaysia.

Persembahan berdurasi 90 minit tanpa henti itu akan menyaksikan NOAH tampil dengan seleksi lagu hit mereka sepanjang penglibatan dalam industri muzik.

Iklan

Tiga pemuzik profesional juga bakal mengiringi persembahan mereka, selain kejutan istimewa yang hanya akan diketahui pada malam konsert tersebut.

Sementara itu, pihak pengajur turut memaklumkan sambutan terhadap pembelian tiket sangat memberangsangkan kerana ramai yang merindui untuk menonton persembahan band yang sebelum ini dikenali sebagai Peterpan.

Iklan

Tiket-tiket dijual dengan harga bermula RM330 sehingga RM650, selain tiket VIP berharga RM888 dan RM8898. Pembelian boleh dibuat menerusi www.yoloasia.com.

YOLO Malaysia sebelum ini pernah membawakan aksi-aksi hebat pemuzik tempatan menerusi enam buah konsert YOLO Live Sessions yang mendapat sambutan ramai.

Untuk maklumat lanjut dan info terkini konsert boleh layari laman web rasmi dan akaun media sosial Yolo Malaysia.