MENGUNCI kemas cerita peribadi termasuk soal cinta sentiasa menjadi pegangan penyanyi bersuara hebat, Dayang Nurfaizah sepanjang lebih dua dekad dalam industri seni.

Namun tangkap layar yang memuatkan ungkapan Sayang Apa Khabar, dikongsi di laman Instagram milik Dayang atau nama penuhnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty baru-baru ini mengundang perhatian ramai.

Apatah lagi ada yang menganggap, ia sebagai bayangan penyanyi itu mula terbuka berbicara soal cinta kepada umum.

Tidak mahu terus memberikan harapan, Dayang, 40, mengakui masih selesa hidup solo dan ungkapan tersebut merupakan judul single baharunya, Sayang Aku Tanya Apa Khabar.

Lagu itu menyaksikan kolaboratif pertama Dayang bersama penyanyi dan komposer sedang meningkat naik, ZynAkal.

“Sayang Aku Tanya Apa Khabar adalah single duet saya dengan ZynAkal. Sebuah karya segar dengan melodi ringkas serta lirik bersahaja, tetapi memberi rasa yang mencukupi.

“Itu antara sebab kenapa saya menerima tawaran untuk tampil berkolaboratif dengan Zyn yang saya sifatkan sebagai penyanyi dan komposer muda berbakat besar dan kreatif.

“Saya terbuka untuk berduet dengan sesiapa sahaja yang mempunyai karya bersesuaian, sementelah saya memang berhasrat menghasilkan lebih banyak kolaborasi bersama bakat muda pada masa akan datang,” ujarnya yang ditemui ketika majlis sidang media single tersebut yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Berkongsi pengalamannya ketika proses rakaman lagu ciptaan Zyn, Nobita dan Chaan serta lirik oleh Zyn sendiri itu, Dayang berkata, semuanya berjalan lancar disebabkan masing-masing saling menyumbang idea.

“Alhamdulillah lagu ini dirakam sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua dilaksanakan, sekali gus membolehkan kami dapat bekerja di studio seperti biasa.

“Pengalaman rakaman yang cukup menyeronokkan kerana Zyn merupakan penyanyi dan komposer muda yang sangat berbakat dan terbuka menerima idea orang lain, sekali gus membuatkan saya selesa untuk bekerja.

“Satu benda yang saya suka apabila bekerjasama dengan mana-mana bakat muda ialah idea dan kreativiti mereka dalam berkarya. Malah cara mereka bekerja juga sangat berbeza membuatkan banyak perkara yang saya boleh belajar daripada mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dayang mengharapkan lagu yang bercerita tentang kerinduan terhadap seseorang itu dapat diterima baik peminat kerana mesejnya dekat dengan ramai orang, apatah lagi ketika pandemik ini.

“Saya harap peminat suka dan boleh menerima lagu ini. Bagi saya lirik lagu ini sangat sesuai dengan apa kita lalui sekarang. Ramai antara kita merindui seseorang sebab sudah lama tidak berjumpa.

“Mudah-mudahan apabila mereka mendengar lagu ini terubat rasa rindu dan dapatlah memberikan senyuman.

“Kalau mendengar lagu ini juga, mereka tidaklah berasa bersendirian sebab semua mengalami perasaan sama ketika ini,” katanya yang mengakui rindu untuk pulang ke kampung halamannya di Kuching Sarawak.

Kongsi harapan sama dalam satu karya

Manakala ZynAkal pula menyifatkan dirinya beruntung apabila berpeluang berkongsi karya ciptaannya itu bersama Dayang yang dianggap sebagai antara penyanyi hebat tanah air.

Iklan

“Saya sebenarnya terkejut dan tidak menyangka Dayang bersetuju untuk berkolaboratif dan menyukai lagu ini kerana memang sudah menjadi impian saya untuk berduet dengannya sebelum ini.

“Kita tahu siapa Dayang Nurfaizah dalam industri. Jadi sebagai artis baharu, bila dapat peluang itu, tentulah saya berbesar hati dan anggap ia sebagai satu penghormatan buat saya secara peribadi dan penghargaan dalam kerjaya.

“Dayang juga sangat merendah diri dan sudi bekerjasama dengan orang baharu macam saya,” katanya.
Menurut Zyn, Sayang Aku Tanya Apa Khabar sebenarnya dihasilkan pada tahun lalu dan telahpun dikongsi di saluran YouTube.

Bagaimanapun disebabkan keistimewaan karya tersebut, ia dikomersialkan dengan melakukan penambahbaikan pada lagu itu, selain dijadikan duet bersama Dayang.

“Alhamdulillah, kali pertama Dayang mendengar lagu ini dia terus suka, jadi saya pun buat susunan semula lagu awal tahun ini.

Iklan

“Sesuatu kolaboratif itu perlu ada persefahaman dalam muzik untuk menjadikan ia nampak menarik. Saya menganggap idea yang diberikan oleh Dayang menjadikan lagu ini lebih segar,” jelasnya.

Lagu Sayang Aku Tanya Apa Khabar terbitan Def Jam Malaysia itu kini boleh didapati di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music bermula 6 Ogos lalu. Manakala lirik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Def Jam Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Zyn berkata, dia kini dalam proses pembikinan album sulungnya yang bakal menemui peminat tidak lama lagi.

“Sepanjang PKP ini saya fokus mencipta lagu dan mengumpul material untuk album penuh nanti.

“Pembikinan album itu merupakan antara perancangan jangka masa panjang saya untuk kekal relevan dalam industri, selain kepuasan diri sendiri,” katanya yang turut berhasrat berduet dengan bapa saudaranya, Zamani pada masa akan datang.