SUDAHLAH diuji dengan pendapatan yang semakin terjejas akibat pandemik Covid-19, pelawak, penyanyi dan pelakon, Achey, kini berdepan pula dengan ujian yang lebih berat.

Jelas Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, ibunya, Ngaisah Hassan, 73, disahkan menghidapi penyakit jarang dijumpai melibatkan saluran pankreas.

Katanya, mereka kini masih menanti keputusan ujian daripada sampel tisu yang dijangka keluar pada 22 Jun ini.

“Saya susah nak terangkan penyakit sebenar mak sebab doktor sendiri memberitahu penyakit mak sangat rare dan hanya satu dalam sejuta orang dikesan mempunyai penyakit seperti ini.

“Buat masa ini mak sudah dibenarkan keluar hospital dan berehat di rumah. Cuma dia perlu menjalani rawatan susulan.

“Cuma saya agak terkilan, di saat saya perlukan wang yang banyak untuk rawatan mak, wang simpanan saya telah digunakan untuk pelaburan perniagaan.

“Bagaimanapun melihat mak yang cukup positif dan kuat menghadapi penyakit ini, saya serta adik-beradik pun turut kuat dan reda,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Achey, 35, dia bersyukur kerana berada di kampung halaman di Segamat, Johor sejak tiga bulan lalu menguruskan perniagaan.

Achey berkongsi perkembangan kesihatan ibunya menerusi Instagram beserta tanda pagar Untuk Mak.

Justeru secara tidak langsung ia lebih memudahkannya untuk membawa ibunya menjalani rawatan susulan.

“Saya kira ada hikmah berada di kampung sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Saya balik sebelum ini kerana perlu menguruskan perniagaan BubbleBee dan beberapa perniagaan lain.

“Insya-ALLAH kami akan berusaha sebaiknya untuk memberi rawatan yang terbaik kepada mak. Mana-mana aset yang boleh dicairkan, akan dijual kelak untuk menampung perbelanjaan untuk rawatan mak kelak,” jelasnya.

Ditanya mengenai situasinya selepas PKP dilaksanakan, Achey mengakui dia juga turut terjejas sama seperti ramai lagi individu lain.

Bagaimanapun dia cuba berkuat dan memikirkan memiliki pekerja yang berharapkan mempunyai pendapatan dalam tempoh sukar.

“Banyak tawaran terpaksa ditunda dan dibatalkan. Banyak juga projek yang saya terpaksa pulangkan deposit.

“Contohnya kerja melibatkan review produk di Instagram. Saya tak ambil cara mudah dengan muat naik gambar poster produk, sebaliknya saya buat juga video review produk tersebut.

“Tetapi bila mereka yang dah bayar deposit terpaksa batalkan projek itu disebabkan kekangan PKP, saya ambil keputusan untuk pulang wang berkenaan, walaupun pada dasarnya kalau tak jadi kira burn deposit.

“Saya faham kesusahan mereka dan saya anggap ia juga bantuan kecil daripada saya untuk mereka,” ujarnya.

Iklan

Pertaruh Sembuh

Berkongsi perkembangan terkininya, Achey baharu sahaja melancarkan lagu berjudul Sembuh yang mana ia adalah kesinambungan lagu Sakit.

Lagu Sembuh yang merupakan hasil ciptaan sepenuhnya dilancarkan secara rasmi pada 5 Jun lalu di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Selepas lima hari dilancarkan, video muzik rasmi Sembuh sudah mencecah hampir 400,000 tontonan dan kekal berada di kedudukan carta trending.

Masih mengekalkan genre sama dengan single terdahulu, Achey berkata lagu Sembuh mempunyai sedikit kelainan dari segi bunyi dan penghayatan.

Iklan

“Komposer dan lirik lagu ini daripada saya sepenuhnya. Cuma gubahan muzik oleh Baby Majistret bersama pasukannya. Syarikat rakaman 17 Eleven menggalakkan saya cipta dan buat lirik.

“Genre lagu ini balada, sama macam lagu Yang Terindah dan Sakit. Tapi, warna dalam lagu ini adalah kesinambungan daripada lagu Sakit. Penghayatan juga lain daripada lagu sebelum ini. Jadi, ia sedikit berbeza,” katanya.

Tambah Achey, dia merancang untuk tampil dengan lagu ketuhanan selepas ini dan juga sebuah mini album.

“Kalau ikutkan selepas lagu Yang Terindah, saya ada buat lagu berunsur ketuhanan. Tetapi 17 Eleven minta saya simpan lagu itu dan ia akan menjadi lagu penutup di dalam album mini yang yang memuatkan lima buah lagu.

“Cuma buat masa sekarang, saya tak pasti bila album mini itu akan dilancarkan,” akhirinya.