Uyaina berani cipta kelainan

A
A
A

MELETAKKAN dirinya sebagai bintang baharu yang masih bertatih dalam bidang seni, pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad sentiasa terbuka belajar dan memperbaiki kelemahan diri.

Malah pemilik nama sebenar, Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 28, berusaha sebaik mungkin memberikan yang terbaik, sekali gus menghargai setiap peluang datang.

Itu juga dilakukannya tatkala menjayakan watak Ammara, seorang gadis berperwatakan pelik dan memiliki kuasa luar biasa dalam drama arahan terbaharu Michael Ang, Love Elsa, yang kini bersiaran di Astro Ria, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

“Saya suka mencuba sesuatu yang berbeza dan watak Ammara memberikan peluang itu.

“Selain jalan ceritanya, saya tertarik dengan keunikan karakter Ammara itu sendiri di mana saya boleh cuba pelbagai perkara baharu untuk dicorakkan pada watak itu.

“Penonton dapat melihat kelainan itu menerusi penampilan dan fesyen pelik saya daripada tudung, pakaian sehingga kepada 18 pasangan sarung tangan yang saya pakai,” jelasnya.

Uyaina yang ditemui pada sidang media drama tersebut yang diadakan secara maya baru-baru ini berkata, biarpun berdepan cabaran, dia puas melihat hasilnya.

“Penggambaran dilakukan Langkawi, Kedah dan bayangkan macamana saya perlu bertahan dengan pakaian berlapis-lapis, siap dengan sarung tangan di tengah panas terik.

“Bagaimanapun rasa berbaloi apabila ia berjaya menyerlahkan watak tersebut dan penonton nampak usaha itu,” katanya.

Antara penampilan Uyaina sebagai Ammara dalam drama Love Elsa.

Menyentuh gandingan pertama kalinya bersama Zul Ariffin, Uyaina mengakui pada awalnya gementar dan takut berdepan dengan aktor berpengalaman itu.

“Apabila dapat tahu bakal bergandingan dengan Zul, saya berbesar hati, tetapi dalam masa sama gementar dan takut nak masuk set berlakon dengan aktor yang sudah ada nama besar dalam industri.

“Bagaimanapun bila mula bekerjasama, Zul sangat okey dan banyak membantu. Situasi itu membuatkan saya selesa bekerja di set,” ujarnya.

Menyentuh tentang pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Uyaina mengakui ramai penggiat seni termasuk dirinya turut terjejas dengan situasi itu.

“Banyak aktiviti seni dan tawaran kerja ditangguhkan menyebabkan sebahagian besar pendapatan penggiat seni terjejas.

“Kita berhak merasa kecewa tetapi dalam masa mental kena kuat untuk terus bergerak bagi kelangsungan hidup. Kenal pasti apa kelebihan kita yang lain untuk cari rezeki.

“Biarpun berbeza dengan kebiasaan dilakukan sebelum ini, ambil sahaja sebagai cabaran demi diri sendiri dan keluarga,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca