SAMBUTAN Aidilfitri kali ini cukup istimewa buat pasangan Raja Syahiran dan Uyaina Arshad apabila pertama kali meraikannya sebagai suami isteri.

Masing-masing tidak dapat menyembunyikan keterujaan, apatah lagi setelah dua tahun beraya dalam suasana norma baharu akibat pandemik Covid-19.

Menurut Syahiran, 29, Syawal kali ini memberikan kegembiraan berganda buat dirinya yang bukan sahaja kini berstatus suami, tetapi bakal bergelar bapa tidak lama lagi.

“Alhamdulillah pada tahun ini kami akan beraya ‘bertiga’ dan semestinya Aidilfitri kali ini menjadi sangat istimewa untuk diraikan bersama-sama.

“Saya sebenarnya sangat teruja beraya sebagai suami dan tidak sabar menanti pagi 1 Syawal untuk merasai pengalaman pertama bersalaman dan saling bermaafan dengan isteri,” ujarnya yang menggemari juadah ketupat dan rendang.

Romantika RayaBagaimanapun dalam keterujaan itu, Uyaina berkata, persiapan menyambut raya mereka tidak dapat dilakukan dengan sempurna kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Bukan sahaja sedang hamil empat bulan, tetapi pengacara Wanita Hari Ini itu baru sahaja selesai menjalani pembedahan akibat apendiks lebih dua minggu lalu.

“Walaupun keadaan kesihatan semakin baik, namun suami tidak benarkan saya melakukan kerja-kerja berat kerana bimbang memberi risiko kesan daripada pembedahan baru-baru ini.

Iklan

“Jadi persiapan kami untuk baju raya dan keperluan lainnya dilakukan dengan serba ringkas. Untuk juadah, insya-ALLAH saya hanya membantu umi dan ibu mertua mengikut kemampuan diri.

“Saya dan suami bertuah kerana kedua-kedua belah keluarga kami menetap di Lembah Klang sahaja. Saya di Petaling Jaya dan suami di Subang Jaya. Jadi tiada isu bergaduh nak balik raya di mana,” kata Uyaina yang mengambil cuti raya selama seminggu.

Dalam perkembangan lain, pasangan suami isteri itu bakal tampil dalam program, Romantika Raya yang akan bersiaran di saluran Astro Ria pada Aidilfitri nanti.

Iklan

“Program tersebut akan berkongsi cerita percutian kami di Turki. Jangan lupa tengok nanti,” kata Uyaina.

(FOTO: Azrul Rafie – Astro)