TIDAK sampai tiga minggu melancarkan single baharu, Tunggu, Voices Of Euphonious (VE) membuktikan kesungguhan mereka untuk terus berada dalam industri seni.

Mempertaruhkan single kedua berjudul Antara Cinta & Ghairah, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Mulah dilancarkan sempena mengambil keberkatan bulan Ramadan.

Lagu yang bersifat cerita hati antara hamba dengan Penciptanya itu diakui oleh empat orang anggota VE iaitu Zaf, Cham, Adeep dan Hakim amat menguji kemampuan vokal mereka.

Antara Cinta & Ghairah ini lebih jiwa dan lantunan vokalnya memerlukan penghayatan mendalam. Mesej lagu ini juga sangat puitis.

“Kami tidak melihat ia sebagai lagu ketuhanan atau kerohanian, sebaliknya lagu ini membawa mesej positif dan bersesuaian dengan bulan Ramadan,” ujar Adeep mewakili anggota kumpulan yang lain.

Antara Cinta & Ghairah adalah lagu balada yang memaparkan mesej mengenai perbualan hati antara seorang hamba dengan penciptanya.

Liriknya menjurus kepada pilihan yang terbentang depan mata dan seorang hamba yang memohon petunjuk Tuhannya untuk memilih jalan yang diredaiNYA.

Proses susunan lagu, rakaman dan penggambaran muzik video dilakukan dalam masa kurang dua minggu.  Selepas single Antara Cinta & Ghairah, VE mempunyai perancangan untuk beberapa buah single lain termasuk kolaboratif dengan seorang bintang muda.

VE kini dianggotai (dari kiri) Adeep, Cham, Zhaf dan Hakim.

Bercerita lanjut mengenai perancangan mereka, Zhaf berkata, keputusan VE untuk kembali semula mewarnai industri seni selepas 13 tahun bukan dibuat sekadar ‘try and error’.

Katanya, mereka sudah lama merindui untuk kembali menyanyi walaupun masing-masing sudah mempunyai kerjaya dalam bidang berbeza.

“Rasa gian itu bukan dari tempoh pandemik, dah lama dah. Gian menyanyi itu sampai tahap walau kat luar tanam cili, tetap rindu nak kembali menyanyi bersama rakan-rakan.

Iklan

“Apa yang penting kami kembali bukan untuk ‘try and error’. Kami sudah ada perancangan padu untuk tahun 2021, tetapi semua itu berbalik juga kepada perancangan ALLAH SWT untuk kami.

“Kami ada juga plan untuk berkolaboratif bersama penyanyi muda dan tampil dengan lebih banyak single.

“Apa yang penting, kehadiran kami bukan untuk bersaing atau membuktikan apa-apa. Sebaliknya kami lakukan kerana minat,” jelasnya yang turut memaklumkan Cham mengambil keputusan untuk berhenti kerja tahun lalu bagi memberi tumpuan kepada VE.

Iklan

Tambah Zhaf, mereka akan cuba mengekalkan identiti VE, namun peminat harus bersedia menerima perubahan muzik VE pada masa akan datang.

“Rata-rata kami sudah berusia 40-an, kecuali anggota baharu kami, Hakim yang berusia 36 tahun. Jadi rasanya tak sesuai kami yang berusia 40-an nak menyanyikan lagu seperti kami berusia 20-an.

“Jadi muzik itu akan bergerak selari dengan usia dan juga perkembangan muzik terkini itu sendiri,” ujarnya.