SELEPAS hampir tiga tahun berahsia, pelawak Vicha mendedahkan dia sebenarnya telah berkahwin buat kali kedua dengan seorang lelaki yang difahamkan seorang warga Nigeria.

Menurut Vicha, 34, dia langsung tidak berniat untuk menyembunyikan perkahwinan tersebut, sebaliknya hanya mahu peminat memberi tumpuan kepada kerjaya seninya sahaja berbanding cerita peribadi.

Bagaimanapun, sempena kehadiran tahun baharu 2022, selebriti kelahiran Indonesia itu mengambil pendekatan untuk berkongsi berita tersebut dengan orang ramai, sekali gus bagi mengelakkan fitnah pada masa akan datang.

“Ramai yang tidak tahu saya sebenarnya sudah berkahwin kali kedua dan bukan lagi berstatus solo.

“Saya berkahwin sejak tiga tahun lalu dan kini hidup bahagia bersama suami dan seorang anak lelaki, Micheal Trevor Ayomide yang kini sudah berusia dua tahun.

“Sebelum ini saya tak kongsikan kepada umum kerana rasa tidak perlu bercerita tentang kehidupan peribadi. Bagaimanapun sampai satu masa saya fikir, sampai bila saya mahu berahsia kerana nanti orang akan tahu juga.

“Jadi saya putuskan untuk kongsi tentang perkara ini kepada semua yang masih terus menyokong kerjaya saya sehingga hari ini,” dedah Vicha menerusi satu perkongsian di saluran YouTube miliknya beberapa hari lalu.

Bercerita lanjut, Vicha berkata, dia mengenali suaminya sejak tahun 2015, sebelum lelaki yang dikenali sebagai Johnson itu memeluk Islam.

“Saya mengenali suami ketika menghadiri satu majlis yang dianjurkan seorang rakan. Sikapnya yang pendiam, matang dan bertantanggungjawab membuatkan saya tertarik untuk berkawan, seterusnya menjalinkan hubungan serius dan berkahwin.

“Saya bersyukur doa untuk mendapat jodoh yang baik dimakbulkan Tuhan. Sepanjang tujuh tahun mengenalinya, dia sangat baik dan suka memberi nasihat. Banyak benda yang saja belajar daripadanya.

“Yakinlah jodoh, rezeki dan ajal maut itu di tangan Tuhan. Saya sendiri tidak pernah terfikir akan berkahwin dengan orang luar, yang bukan dari Indonesia dan bukan juga dari Malaysia.

Iklan

“Alhamdulillah kami melalui susah senang hidup bersama dan menemui kebahagiaan yang dicari selama ini. Allah kurniakan rezeki yang sangat murah selepas berumah tangga dan melahirkan cahaya mata kami,” ujarnya yang mengakui sedang hamil ketika bergelar juara Muzikal Lawak Superstar bersama kumpulan J-Born pada 2019.

Dalam pada itu, Vicha yang kini semakin sukses dengan perniagaan Bakso yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu mengakui tidak akan berputus asa untuk membawa dua anaknya daripada perkahwinan terdahulu ke Malaysia dan membina kehidupan baharu mereka di sini.

“Sehingga kini saya masih berusaha untuk membawa anak-anak saya daripada perkahwinan pertama untuk tinggal bersama di Malaysia.

“Saya tidak akan berputus ada dan akan terus mencuba sampai bila-bila. Saya mahu mereka bersekolah dan tinggal bersama-sama saya dan suami. Itu harapan dan target saya tahun ini.

Iklan

“Dalam masa sama, saya juga berharap agar rezeki semakin murah untuk tahun 2022 ini dan perniagaan yang saya usahakan bersama suami terus berkembang,” katanya.

 

(FOTO: Instagram Vicha)