BAHARU sahaja tampil dengan single terbaharu, Boneka, nama penyanyi Ernie Zakri menjadi sebutan ramai gara-gara imej pelik yang ditonjolkan dalam muzik video lagu berkenaan.

Bagaimanapun Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 28, mempunyai alasan tersendiri dalam menterjemahkan lagu ciptaan komposer Omar K, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh itu.

“Boneka berkisar tentang seorang wanita yang ditinggalkan kekasihnya tetapi dia sangat kuat dan tabah dalam menghadapi perpisahan tersebut kerana dia bukanlah ‘boneka’ yang boleh diperlakukan sesuka hati oleh mana-mana lelaki.

“Sebenarnya melalui lagu ini, saya mewakili mana-mana pihak yang ditinggalkan oleh kekasih mereka, tidak kira untuk wanita mahupun lelaki,” katanya yang turut menyifatkan wanita tidak boleh diperlakukan sesuka hati oleh lelaki.

Tambah Ernie, lagu Boneka sempat dirakamkan sebelum wabak pandemik Covid-19 melanda negara dan merasakan sudah tiba masa sesuai untuk mengeluarkan lagu baharu.

Iklan

“Sebenarnya lagu ‘Boneka’ ini telah pun dirakamkan sebelum wabak Covid-19 melanda negara lagi. Sebelum ini single Gundah telah dilancarkan pada bulan Disember tahun lepas dan rasanya ini masa sesuai buat saya untuk tampil dengan single baharu,” jelasnya.

Lagu Boneka kini boleh dimuat turun di penstriman atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Manakala video lirik dan muzik lagu ‘Boneka’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Iklan