Video muzik single baharu Iman Troye, Nang raih 1 juta tontonan
PENYANYI sedang meningkat naik, Iman Troye terus membina pengaruhnya yang tersendiri apabila video muzik single terbaharunya, Nang berjaya meraih satu juta tontonan selepas enam hari dilancarkan.
Iman atau nama sebenarnya, Siti Nur Alyssa Sahabudin, 19, meluahkan rasa syukur apabila lagu ciptaan Ezra Kong dan lirik A Ramlee itu berjaya meraih perhatian peminat sebagaimana single terdahulu, Teman dan Pejam Celik Hari Raya.
“Untuk mencipta trek rekod sebegini iaitu mendapat satu juta tontonan dalam tempoh kurang seminggu bagi video muzik tiga lagu nyanyian saya sesuatu pencapaian peribadi yang cukup luar biasa.
“Tambah pula tiga lagu saya dilancarkan di era pandemik Covid-19 yang kita sedia maklum ketentuan pasaran muzik itu sendiri tidak mampu ditebak hala tujunya.
“Saya harus berterima kasih kepada semua yang menjadikan semua ini kenyataan. Terutama peminat serta rakan media yang tidak putus putus memberikan sokongan," katanya.
Menurut Iman, bukan sesuatu yang mudah membawa konsep lagu seperti Nang dalam sebuah karya lagu Melayu pop.
"Kualiti lagu dan seni muzik video akan sentiasa menjadi kepentingan pertama saya.
"Saya rasa amat beruntung untuk berada di sini dan dapat peluang untuk memperjuangkan karya traditional Malaysia kita.
”Saya harap semua akan terus menyokong karya hasil artis tempatan kita supaya industri muzik akan terus lebih maju," katanya.
Lagu tersebut sohor kini di saluran YouTube dan pernah berada dalam kedudukan top 5 platform muzik berkenaan, selain menjadi top 10 di Spotify.
Nang merupakan terbitan XO House Sdn Bhd dengan kerjasama Universal Music Malaysia dilancarkan pada 15 Oktober di semua pelantar muzik digital terpilih. Diikuti pelancaran video muziknya di saluran YouTube pada 22 Oktober lalu.
Kos pembikinan video muzik tersebut mencecah RM100,000, sekali gus menjadi yang termahal pernah diterbitkan di bawah syarikat XO House Sdn Bhd.
Terdahulu, Iman turut berjaya meraih 4X Anugerah Platinum bersamaan RM1 juta membabitkan 'talent management revenue' termasuk persembahan dalam lagu Teman dan Pejam Celik Hari Raya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang