VOKALIS baharu kumpulan Samudera, Norazmi Mohd Abdullah, 48, meninggal dunia akibat Covid-19, pada Sabtu.

Ketua kumpulan Samudera, Mohd Azhar Ropei berkata, Norazmi atau mesra disapa Aimi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buloh, pada jam 10.12 malam.

“Selepas disahkan positif COVID-19, arwah ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

“Arwah meminta dibawa ke sana kerana tidak mahu keluarga menanggung risiko kerana arwah ada anak yang masih kecil.

“Bagaimanapun, Ahad lalu, arwah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh kerana keadaan kesihatannya semakin merosot. Berikutan paras oksigen menurun, arwah terpaksa ditiarapkan,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Iklan

Allahyarham Norazmi adalah vokalis kumpulan Samudera menggantikan penyanyi asal, Sarfen Husin atau Ujang yang meninggal dunia, empat tahun lalu.

Berita pemergian Norazmi itu turut dikongsi di akaun Facebook (FB) rasmi kumpulan itu, Samudera Fans Club. Kumpulan Samudera popular dengan lagu Salam Sejahtera.

Iklan

Sumber : BH Online / Foto : Samudera Fans Club