KALAU dahulu, wajah comelnya sering membuat kita terhibur di kaca televisyen, kini, penyanyi, pelakon dan pengacara TV remaja popular yang semakin kacak, Wafiy, tampil dengan sebuah single sulung di bawah naungan Rocketfuel Entertainment.

Mungkin peminat lebih mengenali pemilik nama sebenar Mohd Wafiy Ilhan Johan sebagai seorang pelakon kanak-kanak berbakat yang kini sudah pun menginjak remaja menerusi pelbagai drama, telefilem serta filem yang dibintanginya.

Namun sebenarnya anak kelahiran Beaufort, Sabah itu terlebih dahulu berkecimpung dalam dunia nyanyian.

“Saya sebenarnya bermula sebagai penyanyi sewaktu di awal pembabitan dalam industri hiburan sebagai salah seorang peserta Ceria Popstar musim yang pertama pada tahun 2013, namun rezeki lebih dalam bidang lakonan dengan tawaran yang mencurah-curah.

“Selama sedekad berada dalam industri seni, saya hanya bergerak sendiri tanpa mana-mana pihak pengurusan, kemudian di usia 19 tahun saya mengambil keputusan untuk menyertai Astro semula di mana kerjaya nyanyian saya akan dikendalikan oleh pihak Rocketfuel,” jelasnya.

Sebagai langkah permulaan untuk kembali aktif dalam dunia nyanyian, Wafiy mempertaruhkan single berjudul Lupa.

WAFIY

Single dalam genre pop ini adalah ciptaan komposer dari Indonesia, Herdasyira yang menceritakan tentang seorang lelaki yang telah ditipu oleh kekasihnya.

“Bercerita mengenai lagu Lupa, sebenarnya idea di sebalik pembikinannya sudah pun bermula sekitar 4 tahun yang lalu sehingga saya sendiri pun hampir terlupa tentang kewujudannya.

“Proses rakaman single ini tidak memakan masa yang lama kerana saya sudah ‘kenal’ dengan jalan ceritanya dan faham apa yang dimahukan komposer bagi menghidupkan karya tersebut.

“Pada mulanya, tajuk lagu ini adalah Minta Ampun dan apabila dirombak semula kami bercadang untuk menukarnya kepada Lupa kerana lebih sesuai dengan jalan cerita yang disampaikan.

“Susunan muziknya juga turut diberi penambahbaikan oleh Rocketfuel agar seiring dengan trend masa kini.

Iklan

“Lagu pop rancak ini mempunyai unsur muzik R&B dengan elemen easy jazz yang santai,” ujarnya.

Harapan

Dalam pada itu, Wafiy turut meluahkan rasa terharu dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada keluarga dan peminat sejak awal pembabitannya dalam dunia seni.

WAFIY

“Saya seorang yang ringkas tetapi suka mencuba sesuatu yang baharu, dan dari segi muzik pula saya mahu menjadi penyanyi versatil yang tidak terikat pada mana-mana genre.

Iklan

“Selain bidang nyanyian, saya juga gemarkan bidang pengacaraan dan mahu meneroka bidang tersebut dengan lebih lagi serta cuba memperbaiki mutu pengacaraan saya dari semasa ke semasa,” kata Wafiy.

Kongsi Wafiy sebelum menutup bicara, dia berharap pendengar terhibur dengan karya ini kerana tiada maksud ‘berat’ yang tersirat.

“Semoga peminat saya semakin bertambah bukan sahaja di dalam negara bahkan di Indonesia juga,” ujarnya.

Muzik video single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.