KEPUTUSAN vokalis lama Neon Band, Ezwan Ariff, melancarkan single solo berjudul Misteri pada Disember tahun lalu menimbulkan tanda tanya mengenai kedudukannya dalam kumpulan itu.

Kini, selepas tujuh bulan, Neon Band menjawab persoalan itu dengan kemunculan ahli baharu selaku vokalis, Boy yang merupakan bekas peserta program Suara Viral (SR).

Pembabitan Boy, 33, atau nama sebenarnya Mohd Firdhaus Mahadzir melengkapkan line up baharu Neon Band yang turut dianggotai Adam (gitar), Azuad Abdullah (dram), Firdaus (keyboard), Naim (bass) dan Syafique Sharif (gitar).

Menurut Boy, penyertaannya dalam Neon Band adalah secara tidak sengaja kerana dia lebih cenderung bergerak bersama kumpulan berbanding secara solo.

“Selepas tamat program SV saya ada berjumpa Abang Lan Adlie. Ketika itu, dia mahu carikan saya single solo. Saya okay saja.

“Bagaimanapun selepas dapat beberapa lagu, saya rasakan lagu-lagu itu tidak kena dengan saya. Dalam masa sama, saya maklumkan hasrat menubuhkan kumpulan dan dia menyokong hasrat itu.

“Kemudian Abang Lan minta saya cuba cari band yang lain. Kebetulan berjumpa dengan Neon Band dan kami pun jamming bersama. Daripada situ, kami cuba buat lagu sendiri. Tapi, pelancaran lagu ciptaan sendiri ini kami tangguh dulu,” jelasnya.

Boy (tiga dari kanan) merupakan ahli baharu dalam Neon Band.

Percubaan mereka itu menimbulkan idea untuk menyanyikan semula lagu Aku Budak Girl, nyanyian bintang Tik Tok, Suekhaizhar, yang menjadi antara lagu paling popular tahun ini.

“Kami fikir daripada tidak buat apa-apa, baik cuba rakaman nyanyian semula atau cover version. Ketika kami persembahkan cover version lagu Aku Budak Girl, Abang Lan cukup tertarik dan minta kami buat susunan muzik baharu agar berbeza dengan lagu asalnya.

“Kami juga lihat kejayaan lagu Aku Budak Girl sebagai pendorong semangat buat kumpulan Neon Band. Pihak pengurusan Nova Music nak ketengahkan lagu ini sebagai single pertama kami. Lagipun Neon Band sudah lama tak keluar lagu baharu.

“Jadi kami gunakan fenomena lagu asal ini untuk kemunculan semula dan dalam masa sama memperkenalkan saya selaku vokalis baharu Neon Band.

Iklan

“Dalam erti kata lain, lagu Aku Budak Boy ini memberi nafas baharu kepada muzik Neon Band sekali gus mampu menarik lebih ramai pendengar muzik tempatan. Harapnya, peminat boleh terima ‘wajah’ baharu Neon Band ini,” katanya.

Menariknya, Boy berkata lagu Aku Budak Boy itu adalah balasan kepada lagu Aku Budak Girl yang mana liriknya lebih berunsur positif dengan memberi semangat kepada ‘Girl’ dan penyanyi Suekhaizhar yang mendapat kecaman warganet.

Ditanya tidakkah dia dan Neon Band bimbang jika dikatakan menumpang populariti lagu lain, Boy mewakili kumpulan itu mengakui masing-masing akan mendapat keuntungan dan kelebihan.

“Bagi saya dalam bidang muzik kena bijak untuk buat keputusan. Sebagai contoh, kalau kami keluar lagu lain ketika saya pula masih baru pasti lebih sukar untuk mendapat tempat.

Iklan

“Jadi boleh dikatakan kami memang menumpang populariti lagu yang viral ini, tapi secara positif,” jelasnya.

Lagu Aku Budak Boy terbitan Nova Music kini boleh didengar di semua pelantar striming muzik. Video muzik lagu itu juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.