"Walaupun peminat saya hanya tinggal dua orang sahaja.." - Nabila Razali enggan mengalah

A
A
A

SEJAK awal kemunculannya dalam dunia seni hampir sedekad lalu, ada sahaja kritikan dan kata nista yang dilemparkan oleh ‘peminat’.

Bahkan tidak keterlaluan untuk penulis katakan, perjalanan karier seninya diselimuti dengan cemuhan yang boleh meremukkan jiwa raga jika diri tidak kental.

Namun, apa yang boleh dibanggakan, Nabila Razali tidak mempedulikan itu semua, apatah lagi berputus asa. Beliau enggan mengalah, sebaliknya berikrar untuk terus mengorak langkah.

Justeru bagi penulis, sukar sebenarnya menjadi seorang yang bernama Nabila.

Pun demikian, tatkala soalan itu diajukan kepada pemilik nama penuh Nur Nabila Mohd Razali, beliau hanya tertawa kecil dan lantas memberi jawapan: “Bagi saya, semua orang ada kesukaran masing-masing. Tanyalah mana-mana selebriti pun, pasti sama jawapannya.

“Apa yang boleh saya katakan, saya seronok melihat perjalanan karier seni saya yang ada turun dan naiknya, malah ramai yang menyokong hasil kerja saya.”

Bahkan kata penyanyi yang cukup hits dengan lagu Peluang Kedua itu, setiap kritikan yang dilemparkan diambil dari sudut positif untuk memperbaiki diri.

“Walaupun banyak yang kecam saya, tetapi saya anggap itu tanda orang prihatin dengan hasil kerja saya. Bila mereka kritik, ia sekurang-kurangnya memberi signal kepada saya untuk terus memperbaiki diri.

“Saya terima segala komen baik atau buruk dan lihat ia dari sudut positif. Segala kenyataan mereka juga menjadi pembakar semangat buat saya,” ujar selebriti berkenaan yang begitu optimis.

Nabila sentiasa mengambil kritikan dan cemuhan dari sudut pandangan positif untuk memperbaiki diri.

Tambah pemenang tempat kelima program Akademi Fantasia musim ke-10 itu, famili dan peminat adalah pemangkin semangat utama buatnya.

“Sejak awal membuat keputusan untuk menceburi industri seni, keluarga sentiasa berada di belakang, menyokong apa yang saya lakukan. Begitu juga dengan peminat, ada yang masih setia bersama saya sejak zaman Akademi Fantasia lagi. Syukur sangat,” akuinya.

Ujar empunya diri lagi, tiada sebab untuk risau dan terus memikirkan hal-hal yang negatif kerana industri seni sememangnya tempat beliau mencari rezeki.

“Walaupun peminat saya hanya tinggal dua orang sahaja, saya akan tetap terus berkarya, menyanyi di hadapan dua orang tersebut,” tegasnya.

Putus

Kami tidak berniat untuk terus menerus bercerita tentang pandangan orang terhadapnya. Maka, kesempatan bersua dengannya memberi peluang penulis bertanya tentang rentak kerjayanya kini.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ? (@nabila.razali)

Sambil tersenyum manis, menurut Nabila, beliau masih sibuk mempromosikan single Putus yang dilancarkan pada November tahun lalu.

Katanya, jumlah tontonan lirik video lagu itu di YouTube hampir mencecah dua juta. Jika diikutkan perancangan, figura terkenal itu akan melancarkan muzik video diikuti novel yang diinspirasikan daripada lagu berkenaan.

“Alhamdulillah, lagu Putus dapat respons yang sangat positif. Saya berbangga juga sebab terlibat secara langsung dengan proses penciptaan single itu bersama komposer dari seberang, Erwin Purnama.

“Insya-ALLAH, terdapat juga perancangan lain untuk Putus. Saya akan kongsikan dari masa ke masa,” katanya yang berharap dapat kembali merancakkan kerjaya nyanyian tahun ini, selain berlakon.

Bukan hanya sibuk di persada nyanyian, wanita berusia 29 tahun itu masih menantikan beberapa naskhah lakonannya yang bakal ditayangkan di kaca televisyen seperti Rombongan Cik Kiah Ke AJL dan Lockdown.

Teruja

Sudah namanya popular, Nabila masih dilamar menjadi jurucakap produk. Terbaharu, beliau baru saja diumumkan sebagai duta Himaya Premium Hijab Medical Face Mask (Himaya), sekali gus menyertai selebriti lain seperti Elfira Loy, Erra Fazira, Amira Othman dan Wany Hasrita.

Menjadi duta Himaya yang baharu, Nabila berpendapat jenama itu bukan memberi manfaat kepada dirinya seorang, bahkan pengguna yang lain.

Ungkapnya, dalam keadaan pandemik kini, masyarakat perlu lebih berwaspada dan paling signifikan adalah pemakaian pelitup muka yang berkualiti.

“Apabila ditawarkan untuk menjadi duta, semestinya saya teruja kerana produk ini bukan memberi manfaat kepada saya seorang tetapi pengguna yang lain. Lebih-lebih lagi ia direka khas untuk wanita berhijab.

“Saya seorang yang suka berfesyen dan dengan situasi semasa, kesihatan juga perlu diutamakan. Jadi, dengan pelitup ini, dapatlah saya dan pengguna lain bergaya, di samping menjaga diri dan mengikuti SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan.

“Saya juga tidak perlu risau lagi kerana solekan dan gincu saya kekal cantik serta tidak comot,” ujarnya.

Untuk tahun ini, Himaya melancarkan empat warna baharu iaitu Chic Vintage, Pink Dew, Celadon Green dan Teal In Spring.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca