Wany Hasrita tidak mahu lupa diri

Wany Hasrita
Wany Hasrita
A
A
A

BIARPUN bakatnya pernah dipandang sebelah mata pada awal kemunculannya dalam bidang seni hampir lima tahun lalu, ia tidak pernah menjadi penghalang buatnya mengejar impian.

Bermula dengan single Menahan Rindu yang memperkenalkan namanya kepada industri tanah air sehinggalah kepada duet bersama Datuk Jamal Abdillah menerusi Belenggu Rindu yang turut melayakkannya bergelar finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35), dia terus mara ke depan.

Itulah semangat dibawa oleh penyanyi Wany Hasrita Hasbullah, 29, dalam mengatur kerjaya seninya, sekali gus menempatkan diri dalam industri.

Meski nama semakin mekar dan menjadi sebutan ramai, pemenang Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular edisi ke-31 itu tidak pernah sesekali lupa di mana dia bermula.

“Saya adalah saya. Biar setinggi manapun terbang, Insya-ALLAH saya sentiasa ingat di mana saya bermula.

“Syukur ada ibu yang selalu ingatkan saya agar sentiasa bersyukur dan jangan lupa diri.

“Selain minat, salah satu sebab saya melangkah ke dalam industri seni adalah kerana azam untuk membahagiakan ibu yang banyak memberikan kekuatan buat saya.

“Saya berazam tidak akan sia-siakan peluang diberikan syarikat rakaman saya, FMC Music yang percaya bakat saya walaupun ketika itu saya bukan siapa-siapa pun,” ujar pemegang ijazah dalam bidang sains perubatan dari Management and Science University (MSU) itu.

Berkongsi perkembangan terbarunya, kongsi Wany, dia baru sahaja tampil dengan single, Cinta Khalayan.

Baginya, lagu ciptaan Farouk Razak dan Tokyo Angkasa yang mempunyai elemen runut bunyi (OST) itu memberikan cabaran berbeza, biarpun genre balada bukanlah asing buatnya.

“Sebenarnya kalau ada yang mengikuti perkembangan saya dari awal, pasti mereka dapat merasai

perbezaan yang ada dalam setiap single balada saya.

“Bermula dengan single Menahan Rindu yang dikatakan ala lagu 1990an, Rintihan Rindu sebagai lagu moden merintih sehinggalah kepada single Terlalu Memuja yang tampil dengan bunyi berbeza.

“Sama juga dengan lagu ini, sebuah karya balada ada eleman tersendiri, terutamanya dari segi penyampaian emosi dan vokal saya,” katanya yang menghargai pengalaman bekerja dengan Farouk dan Tokyo.

Dalam pada itu, Wany tidak melihat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai satu kekangan untuknya mempromosikan lagu tersebut kepada umum, sebaliknya percaya di mana ada usaha di situ ada jalan.

“Dalam keadaan sekarang, kita kena sentiasa kreatif dan bersedia dengan pelbagai perancangan.

“Memang sepanjang PKP tak boleh turun buat promosi di radio, TV atau persembahan pentas, tetapi pada era digital ini platform media sosial tentunya menjadi alternatif terbaik,” katanya.

Cinta Khayalan dilancarkan secara rasmi pada 5 Februari itu kini boleh didengari di semua platform muzik digital, manakala muzik video pula menerusi saluran YouTube FMC Music.

Hargai setiap peluang

Menyentuh tentang persiapannya untuk beraksi di pentas AJL35 yang bakal berlangsung tidak lama lagi, Wany mengakui kini sedang sibuk memastikan segala perancangan dilakukan bersama rakan duetnya, Jamal Abdillah berjalan lancar.

“Alhamdulillah semuanya berjalan mengikut perancangan. Konsep persembahan, sususan muzik dan semua yang kami mahu untuk persembahan itu nanti sedang diatur dan diperkemaskan.

“Walaupun tidak dapat berjumpa, tetapi kami sentiasa melakukan perbincangan dari masa ke semasa. Datuk Jamal sangat profesional dan dari awal lagi komunikasi kami sangat baik dan tidak ada masalah,” akuinya.

Dalam perkembangan lain, kemunculan Wany menerusi siri komedi Astro Tutor TV iaitu SMK: Study Squad baru-baru ini turut mencuri perhatian ramai.

“Saya hanya tampil sebagai cameo dalam siri itu menerusi dua episod sebagai guru Sains dan Geografi.

“Nampak macam mudah, tetapi sebenarnya saya perlu membuat pelbagai persiapan agar penampilan saya sebagai guru itu dapat menyakinkan pelajar dan mereka yang menonton.

“Semua benda yang disampaikan itu adalah fakta, jadi saya sendiri kena betul-betul faham dengan dialog yang disampaikan menerusi watak itu,” katanya yang tidak menolak tawaran lakonan jika kena pada masa dan watak diberikan.

 

(FOTO: FMC Music)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca