SERAMAI 50 wanita asnaf, ibu tunggal, mualaf dan artis veteran diraikan dalam satu majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan raya yang berlangsung di Hotel Sani, pada Sabtu.

Majlis anjuran Wanita Asnaf Tunggal Islam Mualaf (Watim) itu bertujuan meringankan beban golongan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Penaungnya, Datuk Seri Azman Mahmud, berkata, program tersebut mendapat kerjasama daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang turut membawa misi sama untuk membantu mereka yang terjejas.

“Aktiviti ini kita buat bukan untuk hari ini sahaja, tetapi ia merupakan usaha berterusan untuk membantu mereka yang memerlukan terutamanya golongan asnaf, ibu tunggal, mualaf dan artis veteran.

“Kita juga sedang merancang untuk memperbanyakkan lagi program bersesuaian bersama PPIM bagi membantu mereka menjana pendapatan menerusi bidang perniagaan dan sebagainya.

Iklan

“Saya berharap program ini turut mendapat perhatian pihak lain di luar sana untuk sama-sama tampil membantu menggerakkan usaha ini agar nasib mereka dapat dibela,” katanya.

Antara artis veteran yang menerima sumbangan ialah A.R Badul, S. Azli, Aripah Damanhuri, S. Mariam, Mak Jah, Siti Fairuz, Yong Rahimah, Mak Wan, Aida Khalida, Nizam Laksamana dan lain-lain.

Iklan

Selain penyampaian sumbangan, majlis tersebut turut diisi dengan sesi tazkirah oleh selebriti yang kini bergelar pendakwah bebas, Shamsul Azhar atau lebih dikenali sebagai Shamsul Ghau Ghau.