BAGI membangkitkan semangat bersatu hati memerangi pandemik Covid-19, seramai 15 artis berbilang kaum tampil bergabung suara dalam lagu We Are One.

Menariknya single ciptaan pengarah dan penulis lagu terkenal Teng Bee dan diterbitkan Kumpulan Multimedia itu tampil dalam tiga bahasa untuk menyampaikan mesej penuh inspirasi kepada masyarakat.

We Are One yang dilancarkan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 itu menampilkan barisan penyanyi popular terdiri daripada Iman Troye, Jack Lim, Han Xiiao Aii, Ariff Bahran, Priscilla Abby, Yise Loo, Firdhaus, Juztin Lan.

Tidak ketinggalan Layla Sania, Pauline Tan, Henley Hii, Jie Ying, Daphne Low, Ztish El Nino dan Nadia Pang.

Menurut Teng Bee, keadaan industri perfileman dan televisyen (TV) yang terjejas teruk akibat pandemik membuatkan dia terbuka menerima tawaran daripada Multimedia untuk menghasilkan lagu tersebut.

“Ketika menjadi sukarelawan program prihatin Multimedia membantu rakan seperjuangan yang terjejas, saya melihat sendiri kesusahan dan kesedihan yang mereka lalui.

“Situasi itu menjadi inspirasi pada saya menghasilkan We Are One untuk memberitahu orang ramai bahawa semangat perpaduan adalah kekuatan.

“Sebenarnya, pandemik ini dapat memberi inspirasi kepada penggiat seni untuk menghasilkan karya. Diharap mereka dapat menggunakan bakat menghasilkan karya bagi menaikkan semangat semua lapisan masyarakat yang terjejas,” ujarnya.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Multimedia, Datuk Steven Lim Boon Siong berkata, lagu We Are One adalah inspirasi daripada program tanggung jawab sosial korporat (CSR) syarikat terbabit menyampaikan bantuan makanan dan keperluan harian kepada kru industri kreatif yang terjejas akibat Covid-19.

“Saya percaya pandemik dapat ditangani dengan sokongan antara satu sama lain. Bukan mudah untuk menentang pandemik seorang diri. Hanya dengan bersatu padu barulah kita dapat mengharungi tempoh sukar ini.

“Lagu ini menyampaikan mesej agar semua lapisan masyarakat berganding bahu, bersikap berani dan positif berdepan cabaran pandemik.

Iklan

We Are One boleh dikongsi di semua platform media dan saluran TV agar menjadi pembakar semangat kepada orang ramai untuk tidak berputus asa dalam menghadapi cabaran.

Muzik video We Are One kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube Multimedia Entertainment.