DALAM usaha untuk terus membantu dan memberikan semangat kepada golongan terjejas akibat pandemik Covid-19, Universal Music Malaysia kini melancarkan single We Live To Give.

Karya tersebut menyaksikan gandingan penyanyi Athalia, Diana Danielle, Shalma Eliana, Simon Webbe dan Asyraf Nasir bagi menyampaikan mesej yang memberi harapan kepada orang ramai dalam mengharungi saat sukar.

We Live To Give juga mendorong pendengar agar memupuk perasaan kasih sayang dan belas ihsan melalui amalan baik yang dilakukan.

Kerjasama di antara The Giving Bank dan Universal Music Malaysia itu juga bertujuan untuk memberi kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia agar sentiasa memberi harapan dan bantuan antara satu sama lain.

Barisan artis yang terlibat dalam lagu ini percaya karya tersebut sarat dengan rasa cinta, hormat dan harapan yang diterjemahkan kepada kecenderungan usaha mereka kepada golongan muda dan menyebarkan mesej penting We Live To Give.

Iklan

“Saya percaya pada kekuatan bersatu hati kerana kita dapat mempengaruhi lebih banyak kehidupan dan perubahan untuk masa depan yang lebih baik secara kolektif,” ujar Diana Danielle mewakili rakan-rakannya.

Bagi memperluas mesej dibawa, We Live to Give mendapat sokongan daripada Astro Radio, di mana dua stesen radio Inggeris tempatan, Hitz FM dan Mix FM turut mengetengahkan lagu itu sebagai lagu rasmi kepada kempen amal di kedua-dua stesen tersebut.

Iklan

We Live to Give kini boleh didapati di kesemua platform digital muzik seperti Apple Music, Spotify, Joox, KKBox, YouTube Music dan lain-lain.