Wow! Michelle Yeoh menang trofi Pelakon Wanita Terbaik Golden Globe

MICHELLE Yeoh, bintang kelahiran Malaysia yang mencipta nama di persada Hollywood meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe di Los Angeles, hari ini.

Ia sekali gus menjadikan Tan Sri Michelle Yeoh Choo Kheng, 60, mencipta sejarah apabila muncul pelakon Malaysia pertama meraih trofi berkenaan.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu memenangi trofi berkenaan bagi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All At Once.

Dalam filem tersebut, Michelle Yeoh memegang watak sebagai isteri dan ibu yang terbeban yang mahu menyelamatkan dunia yang mana telah meletakkan bintang itu menjadi pelakon nombor satu Hollywood.

Michelle Yeoh menewaskan pesaing iaitu Lesley Manville yang membintangi Mrs. Harris Goes To Paris; Anya Taylor-Joy (The Menu); Emma Thompson (Good Luck To You, Leo Grande) dan Margot Robbie (Babylon).

Ketika menerima trofi, Yeoh turut berkongsi pengalaman lebih empat dekad dalam dunia seni yang disifatkan sebagai perjalanan menakjubkan.

Baca juga Pelakon legenda terima ijazah kehormat AFI, 9 info menarik Michelle Yeoh

Kredit foto: Time

“Saya teringat ketika pertama kali menjejakkan kaki di Hollywood, ia seperti mimpi jadi nyata sehinggalah saya berdiri di pentas Anugerah Golden Globe ini.

“Ketika itu, saya diberitahu anda adalah minoriti. Namun, saya terfikir, tak akan mungkin begitu. Kemudian seseorang beritahu, saya perlu bercakap dalam bahasa Inggeris.

“Pada saat itu, maafkan mereka kerana tidak tahu (asal usul Yeo) sama ada Korea, Jepun, Malaysia, Asia dan India.

“Saya kemudian jawab, iya, penerbangan ke sini mengambil masa 13 jam dan saya belajar bahasa Inggeris sepanjang perjalanan,” katanya berseloroh sambil disambut hilai tawa penonton.

Michelle Yeoh turut memberitahu beliau yang meraikan ulang tahun kelahiran ke-60 tahun lalu mengakui apabila usia meningkat, peluang untuk ditawarkan dalam filem kini semakin berkurangan.

Namun, Michelle Yeoh berpuas hati kerana sebelum ini, beliau banyak menghasilkan naskhah hebat garapan sutradara berkaliber seperti Steven Spielberg, James Cameron dan Danny Boyle.

“Namun, akhirnya saya dapat hadiah paling istimewa iaitu filem Everything Everywhere All At Once.

“Saya kagumi The Daniels (panggilan untuk pengarah) yang ada keberanian menulis mengenai seorang wanita imigran biasa, ibu dan anak yang meningkat usia,” katanya yang berterima kasih kepada semua tenaga kreatif yang menjayakan filem berkenaan.

Baca juga Michelle Yeoh dinobat Ikon 2022 majalah Time, 7 fakta menarik mengenainya

Michelle Yeoh
Gambar fail.

Sementara itu, ini info menarik berkaitan Michelle Yeoh;

Iklan

1. Ogos lalu, Michelle Yeoh menjadi artis pertama menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam seni halus dari Institut Filem Amerika (AFI), Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

2. Karier seni beliau bermula selepas memenangi Miss Malaysia World ketika berusia 20 tahun pada 1983. Michelle Yeoh kemudiannya mewakili Malaysia ke pertandingan Miss World di London, United Kingdom (UK) pada 1983.

3. Michelle Yeoh merupakan artis Malaysia yang sudah 40 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan yang bermula kerjayanya dalam filem Hong Kong pada 1990-an.

4. Kerjayanya kemudian memuncak dengan membintangi beberapa filem terkenal seperti filem James Bond Tomorrow Never Dies, Memoirs of Geisha , Crazy Rich Asians, dan Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings.

5. Pada tahun ini pun, filem yang dibintangi oleh Michelle Yeoh telah berjaya mendapat pujian daripada pengkritik filem, kerana peranannya sebagai Evelyn Wang dalam Everything Everywhere All at Once.

6. Michelle Yeoh sudah berlakon lebih 70 filem antaranya, Crouching Tiger, Hidden Dragon, Memoirs of a Geisha, Tomorrow Never Dies, Crazy Rich Asians dan sebagainya.

Iklan

7. Khabarnya, Michelle Yeoh juga memegang watak Dr Karina Mogue dalam Avatar 2 yang akan disiarkan pada penghujung tahun 2022 ini.

8. Disember 2022, Michelle Yeoh dinobat sebagai Ikon 2022 oleh majalah antarabangsa, Time.

Pencapaian Michelle Yeoh boleh menjadi inspirasi kepada kita semua, terutama anak muda. Kerjayanya dalam dunia perfileman memang layak untuk menjadikannya legenda filem Asia.

Syabas dan tahniah, Tan Sri!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.