PELAKON Kamal Adli seolah-olah memberi bayangan hari bahagianya bersama kekasih hati, Uqasha Senrose bakal berlangsung dalam waktu terdekat ini.

Kamal, 35, menerusi satu hantaran di laman Instagramnya pada Selasa, telah memuat naik foto terbaharu Uqasha, dan menitipkan doa agar semua urusan dipermudahkan.

“So cantik. Ya ALLAH, kau permudahkan semua urusan,” tulisnya ringkas.

Meskipun tidak menyatakan secara jelas, namun ramai yang meneka kapsyen tersebut merujuk  kepada majlis penyatuan dua hati pasangan itu yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Malah rata-rata rakan artis dan pengikut Kamal di Instagram mengambil kesempatan tersebut untuk mengucapkan tahniah buat pasangan itu, sekali gus mendoakan agar perancangan mereka berjalan lancar.

Difahamkan Uqasha, 29, turut mengadakan majlis meraikan bakal pengantin (bridal shower) di sebuah restoran bersama adik-beradiknya, Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose serta sepupu,pelakon Apreena Manrose dan Oktovia Manrose.

Iklan

Menerusi perkongsian yang dilakukan Nelydia di Instagram Story miliknya semalam, Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, menghadiahkan  rantai loket yang diletakkan gambarnya untuk tetamu yang hadir dan bakal menjadi pengiring pengantin perempuan nanti.

Tidak hanya itu, Kamal juga dikatakan sibuk membuat persiapan akhir dengan mencuba pakaian pengantin di beberapa butik terkenal.

Iklan

Bagaimanapun, sehingga kini pasangan popular ini belum mendedahkan tarikh istimewa itu kepada umum.

Kamal sebelum ini membuat kejutan apabila melamar Uqasha secara langsung pada majlis Anugerah MeleTOP Era 2020 pada Disember tahun lalu.