SELEPAS aktif dalam bidang lakonan, nama Farahdhiya lebih sinonim dalam bidang tersebut berbanding nyanyian sehingga ada yang lupa dia bermula sebagai penyanyi.

Namun selepas menyertai program Gegar Vaganza musim kedua, pemilik nama sebenar Nur Farahdhiya Mohd Amin, 38, membuktikan kerjaya nyanyiannya tidak pernah berkubur, malah suaranya masih tetap sama seperti dulu.

Mengubati rindu peminat yang lama menantikan buah tangan terbaharu daripadanya, anak kelahiran Kuala Lumpur itu kembali dengan single Tewas.

Percaya dengan kualiti karya ciptaan Pown Hasril, Karim Karam, Otromen, Nass dan DL, Farahdhiya tidak mahu menggunakan pendekatan gimik untuk menarik perhatian peminat.

“Tiada sebarang gimik kerana saya seorang yang ringkas dan straight forward. Pada saya jika lagu dan produknya baik, malah penyanyi juga bagus, sesebuah karya itu tidak memerlukan pendekatan sebegitu.

“Kadang-kadang kita tengok sendiri orang buat gimik sampai ada yang memalukan diri dan nampak bodoh sehingga dikecam. Saya tak sanggup buat gimik sebegitu dan saya tidak perlukan itu. Bila nak keluar lagu, kita keluarkan lagu sahaja,” tegasnya.

Berkongsi lebih lanjut tentang single Tewas, Farahdhiya berkata, lagu bergenre Electronic Dance Music (EDM) itu turut menampilkan rapper dari Korea Selatan, Denis dengan menggunakan tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Korea.

“Sebelum ini orang lebih mengenali saya dengan lagu-lagu balada, jadi single kali ini memberi kelainan yang cukup ketara.

“Pertama kali mendengar lagu ini, saya terus setuju kerana menyukai melodinya yang catchy. Pada saya lagu sebegini cita rasa orang sekarang. Ini merupakan satu jenama baharu daripada saya dan saya sangat teruja.

“Ditambah pula ia menggunakan tiga bahasa. Saya fikir ini peluang terbaik untuk memberi kelainan,” ujar Faradhiya yang teruja berkolaboratif dengan Denis.

Iklan

Jadual kerja padat

Akui penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Bertakhta Di Hati itu, dia sudah melakukan yang terbaik dan mengharapkan agar peminat memberikan respon positif kepada karya tersebut.

“Setiap kali saya keluarkan lagu baharu, tak kisah ia ‘meletup’ ataupun tidak, saya selalu ada keyakinan. Bila kita dengar, kita tahu lagu itu sedap.

“Sama juga dengan single ini, saya sangat yakin ia adalah lagu yang bagus. Jadi saya mengharapkan sokongan daripada semua pihak,” katanya.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Farahdhiya mengakui sibuk dengan jadual kerja padat selepas industri seni kembali aktif selepas terhenti seketika berikutan pandemik Covid-19.

“Sejak dibenarkan bekerja semula pada Oktober tahun lalu, alhamdulillah jadual saya padat sampai sekarang. Nyanyian dan lakonan berjalan seiring.

“Saya sibuk menjayakan persembahan korporat dan makan malam. Tawaran berlakon pun datang tak berhenti,” katanya yang bakal tampil dengan drama baharu, Roti Cicah Susu di saluran Astro Ria tak lama lagi.