PENYANYI terkenal Datuk Zainal Abidin turut menjadi mangsa banjir apabila kediamannya di Seksyen 25, Shah Alam turut ditenggelami banjir.

Menurut Zainal, beberapa kenderaan miliknya dan barangan di tingkat bawah kediamannya mengalami kerosakan akibat musibah itu.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sahabat handai, kaum keluarga, jiran-jiran dan agensi kerajaan yang datang membantu saya kerana saya ditimpa musibah banjir.

“Rumah saya tidaklah begitu teruk kerosakannya tetapi sedikit harta benda di tingkat bawah dan kesemua kereta saya ditenggelami air.

“Bagaimanapun, saya mempunyai sahabat dan kaum keluarga yang betul-betul baik membantu saya. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih,” ujarnya menerusi video yang dimuat naik di laman Instagram.

Malah Zainal turut mendedahkan Adibah Noor adalah antara sahabat baiknya yang tampil membantu, selain hampir setiap hari melawat mereka sekeluarga selepas air banjir surut.

Difahamkan kediaman penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu Hijau itu dinaikki air sehingga paras dada di mana seluruh kawasan kejiranannya juga berdepan situasi sama.

Meskipun begitu, Zainal berharap pendedahannya itu tidak disalah erti untuk meraih simpati kerana sedar ramai mangsa lain yang mengalami kehilangan dan kemusnahan lebih teruk.

Iklan

“Ini adalah ujian ALLAH. ALLAH sayang kita, ALLAH uji kita. Kita harus tabah dan bertawakal.

“Insya-ALLAH yang terburuk itu adakalanya akan bertukar menjadi yang terbaik. Terima kasih saya ucaplan pada semua,” katanya.

Iklan

(FOTO: Instagram Datuk Zainal Abidin)