Yasmin Hani terbuka terima perubahan
HAMPIR dua dekad membina kerjaya dan pengaruh dalam industri seni, nama Yasmin Hani masih kekal bertahan dengan identitinya tersendiri.
Tidak pernah mendabik dada dengan pengalaman luas dimiliki terutama dalam bidang pengacaraan, pemilik nama sebenar Yasmin Hani Ismail Richardson itu mengakui masih lagi belajar dan sentiasa terbuka menerima perubahan.
Mula dikenali menerusi program hiburan, Muzik@Ria pada awal kemunculannya dalam bidang pengacaraan sekitar tahun 2005, wanita berusia 43 tahun itu kini sudah mengacarakan pelbagai program televisyen.
Terbaru, beliau yang lebih mesra disapa sebagai Hani tampil mengacarakan program realiti masakan terbitan TV9, Dapur Tempur yang kini sedang hangat bersiaran.
“Penglibatan dalam program ini memberi pengalaman berbeza buat saya sebagai pengacara, apatah lagi pertama kali bekerja dengan Sheila Rusly dan Cef Adu sebagai juri tetap program.
“Banyak benda baharu saya pelajari, malah sebagai hos saya perlu bijak memainkan peranan untuk santaikan program agar tidak terlalu tegang biarpun ada ‘drama’ yang berlaku antara peserta dan barisan juri.
“Pada masa sama, saya juga suka memerhati dan memahami karakter mereka yang bekerjasama dengan saya agar proses rakaman berjalan lancar, sekali gus memudahkan kerja semua orang,” katanya.
Selebriti berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu turut meluahkan rasa teruja apabila berpeluang mengendalikan program tersebut yang disifatkan turut memberi laluan kepadanya mendalami bidang masakan.
Mengakui kurang mahir dalam bab memasak, Hani berkata, rancangan berkenaan banyak memberi tip berguna kepada dirinya yang sebelum ini jarang 'bersilat' di dapur.
“Sebenarnya saya kurang minat memasak dan hanya tahu perkara asas serta menu ringkas.
“Namun seiring dengan kematangan, saya mula ada keinginan ke arah itu sehingga saya berdoa agar ALLAH buka hati saya untuk minat dan belajar (memasak).
"Saya juga mahu suatu hari nanti anak-anak ingat menu air tangan saya sendiri. Saya mahu tinggalkan sesuatu yang mereka boleh kenang tentang saya,” ujarnya.
Fokus keluarga
Hani yang sudah hampir setahun bergelar ibu tunggal selepas berpisah dengan bekas suami, Sha’arin Mohamed Razali mengakui, tumpuan beliau kini lebih kepada anak-anak dan ibu, Kamariah Ismail, 76, yang tinggal bersamanya.
“Saya sekarang mahu hidup dengan lebih tenang dan jauh daripada tekanan. Mungkin kerana usia semakin meningkat atau barangkali sedang dalam fasa menyesuaikan diri dengan status ibu tunggal. Kemungkinan juga kerana risaukan keadaan ibu saya yang sudah tua.
“Bila ada kelapangan, saya akan gunakan peluang tersebut untuk bawa anak-anak keluar beriadah dan luangkan masa bersama ibu. Saya nak gunakan masa sebanyak mungkin dengan ibu selagi hayatnya masih ada,” ujar beliau.
Bagi memastikan masanya tidak terbuang begitu sahaja, ibu kepada Noah Ismail Wong, 9, dan Eissa Elzander Wong, 6, itu mula mendisiplinkan diri agar tidak terlalu obses dengan gajet yang menjadi platform kepada pelbagai aktiviti di alam maya.
“Sejak akhir-akhir ini saya sedar penggunaan telefon terlalu banyak mengambil masa kita. Saya sendiri banyak menghabiskan masa dengan telefon dan leka melayari media sosial.
“Sekarang saya mula disiplinkan diri dan hadkan masa melayari itu semua. Pendekatan sebegini juga boleh menjadi contoh buat anak-anak kerana saya juga menetapkan waktu tertentu untuk mereka menggunakan gajet,” tegasnya.
Sementara itu, apabila ditanya tentang perancangan hidup beliau selepas ini terutamanya melibatkan hubungan cinta dengan kekasih hati, pelakon Aliff Hadi, Hani menyerahkan segalanya kepada jodoh.
“Bagi saya tiada apa yang perlu dikejarkan. Bila sudah rasa selesa dan masanya sesuai, kami akan ke fasa lebih serius (perkahwinan). Cuma buat masa ini, belum ada perancangan ke arah itu lagi.
“Kami selesa berkawan dan anak-anak juga menerima dia dengan baik. Apa pun apabila melibatkan soal rumah tangga, banyak perkara yang harus diberikan perhatian,” katanya mengakhiri perbualan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang