YAYASAN Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) terus prihatin menghulurkan sumbangan kepada artis-artis tanahair yang berumur 60 tahun dan ke atas sempena perayaan Tahun Baru Cina yang bakal diraikan  tidak lama lagi.

Menurut Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave, sumbangan tersebut menjadi pembuka tirai aktiviti yayasan tersebut untuk tahun 2022.
“Seperti tahun lepas sumbangan kali ini juga kami lakukan dengan memasukkan wang sumbangan secara terus ke akaun mereka.

“Kami masih mengelakkan untuk membuat majlis sambutan kerana faktor pandemik Covid-19 menjadikan  kami lebih berhati-hati dan menjaga kesihatan. Pun begitu, sumbangan tetap diberikan seperti biasa.

“Pada tahun-tahun sebelum ini, YKAT selalunya menggabungkan penerima sumbangan Hari Natal dan Tahun Baru Cina. Namun kali ini kami memberi secara berasingan kerana yakin mereka memerlukan kos lebih bagi persiapan dan persediaan setiap perayaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

YKAT menyalurkan sumbangan sebanyak RM15,000 kepada 15 orang artis yang layak. Setiap seorang menerima RM1,000 termasuk keahlian percuma Program Khairat YKAT berjumlah RM100.00 bagi mereka yang layak.

Artis-artis yang menerima sumbangan terdiri daripada Tan Ai Lin (penyanyi), Ibnor Riza (penyanyi), Gan Chu Lan, Turairaj, Wan Zul, Tumiran Mohd Kasid (pelakon), Ahmad Bahiki Selamat (pelakon) dan Chik Soon Come (penyanyi).

Iklan

Diikuti N.V Santhiran (penyanyi dan pemuzik), Loo Lit Kee (pemuzik), Bhakthaval Salam (penyanyi), Ng Guat Hoh (penyanyi), Yiew Yip Sun (penyanyi), Fang Joon Heng (penyanyi), Hong Geok Jin (penyanyi) dan Turairaj Ratnam (penyanyi dan pemuzik).

Sumbangan tersebut sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah lama berada dalam industri seni tanahair dan diharap dapat membantu meringankan beban mereka.

Iklan

Ia merupakan dana yang diberikan pihak kerajaan sejak penubuhannya pada tahun 2012, di mana turut digunakan untuk menjalankan pelbagai aktiviti seni, selain membantu kebajikan artis-artis tanahair.

Pada tahun ini, YKAT telah merangka beberapa aktiviti seni bersempena 10 tahun penubuhannya.