Yonnyboii, Kmy Kmo, Luca Sickta dan Tabby senada ungkap rasa cinta

MALAYSIA DI HATIKU
MALAYSIA DI HATIKU
A
A
A

MESKI hampir dua tahun bergelut dengan pandemik Covid-19, ditambah pula dengan situasi getir melanda politk negara, semangat cintakan tanah air ternyata masih mampu menyatu antara sesama.

Lihat saja bagaimana kempen kibarkan bendera putih menjadi bukti masyarakat peka dan empati dengan kesulitan sesetengah golongan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Meraikan semangat itu bersempena sambutan hari kemerdekaan yang bakal menjelang tidak lama lagi, empat artis muda tanah air iaitu Kmy Kmo, Luca Sickta, Yonnyboii dan Tabby (Dolla) tampil bersatu dalam sebuah karya patriotik segar.

Senada dalam menyuarakan rasa cinta pada tanah air, mereka menyuntik semangat kekitaan menerusi lagu berjudul Malaysia Di Hatiku.

Antara bait menarik lirik lagu itu berbunyi, ‘sentiasa di dalam jiwaku, kan ku pertahan sepenuh jiwaku Malaysia’. Ia bagaikan sebuah metafora apa saja terjadi, kasih dan cinta terhadap negara ini tetap tiada tara.

Lagu terbitan Universal Music Malaysia hasil komposisi Nick Ariff, Glow Rush, Mike Chan, Pique, Acap Salim, selain Kmy dan Luca itu baru sahaja dilancarkan pada 16 Ogos lalu.

Kmy Kmo optimis karya baharu itu dapat diterima masyarakat pelbagai lapisan umur dalam menyemarakkan rasa cintakan negara.

“Memang rata-rata daripada kita semua bergelut saat pandemik ini. Namun kehidupan tetap harus dilalui walau bagaimana cara atau solusinya.

“Semoga kehadiran lagu dengan sentuhan moden, klasik, catchy dan hype ini akan terus meniup motivasi dan semangat buat kita semua.

“Paling utama kita tidak akan menggadai dan melacurkan negara ini untuk apa tujuan pun. Semoga ia dapat terus menjadi semboyan semangat dan nadi perpaduan buat rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, selain menjadi national anthem baharu buat kita semua,” katanya.

Menyentuh mengenai proses rakamannya, Luca yang juga merupakan gandingan duo serasi Kmy, berkata, cabaran utama mereka adalah merakamkan lagu secara berasingan kerana berdepan kekangan pergerakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar Jun dan Julai lalu.

“Yonnyboii dan Tabby merakamkan bahagian suara masing masing di rumah, manakala saya dan Kmy pula di studio rakaman yang dilakukan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Lagu ini sudah ada feel dan rasa ketika diperdengarkan. Jadi proses penulisan liriknya ringkas dan senang. Saya sendiri secara peribadi menggemari lagu ini, malah suka dengan hasil akhirnya,” katanya.

Bangga menyanyikan lagu patriotik

Sementara itu, Yonnyboii pula menyifatkan karya berkenaan sangat unik sekalipun bernuansakan patriotik.

“Saya menjangkakan lagu ini berpotensi menjadi lagu merdeka pilihan baharu. Saya harap bila sudah melewati usia 30 atau 40 tahun dan berkahwin kelak, anak saya nanti boleh menyanyikan lagu ini di sekolahnya.

“Lagu ini memang menarik dan bagai ada lapisan elemen yang cukup mengujakan bila didengar. Apatah lagi padanan suara kami saling melengkapi dan saya suka dengan kombinasi kami berempat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tabby atau nama sebenarnya Tabitha Ariel Lam, berkata, pembabitannya dalam lagu Malaysia Di Hatiku cukup bermakna biarpun projek tersebut tidak membabitkan ahli kumpulan Dolla yang lain.

“Saya secara peribadi sudah lama menantikan peluang menyanyikan lagu bergenre kenegaraan atau berwajah Malaysia. Lagu ini umpama tiupan semangat yang cuba dibangkitkan untuk rakyat Malaysia saat bergelut di era pandemik ini.

“Pastinya pengalaman bekerja dengan Kmy, Luca dan Yonnyboii menjadi sesuatu yang amat berharga buat saya.

“Siapa tak bangga dapat bersatu dengan mereka dalam sebuah lagu yang penuh dengan emosi untuk negara tercinta,” ujar Tabby.

Muzik video rasmi Malaysia Di Hatiku akan dilancarkan sempena sambutan Hari Malaysia pada September depan. Ia juga merupakan kolaboratif antara Samsung Malaysia Electronics dan Universal Music Malaysia dengan tujuan mengumpulkan semua rakyat Malaysia untuk terus bersama dalam situasi mencabar ini.

Samsung Malaysia Electronics turut mengadakan kempen cabaran #MalaysiaDiHatiku di pelantar video berdurasi pendek, TikTok, sebagai salah satu inisiatif untuk membolehkan rakyat Malaysia bangkit dan menyebarkan semangat positif sesama mereka sepanjang sambutan hari kemerdekaan yang akan bermula pada 20 Ogos ini.

Malaysia Di Hatiku kini boleh didengar di kesemua pelantar penstriman digital, manakala lirik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca